KUALA LUMPUR 20 Jan. – Rakyat mahu melihat institusi kehakiman di negara ini dipegang oleh individu yang mempunyai nilai integriti tinggi dan golongan yang ‘lebih putih daripada putih’.
Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kegusaran rakyat mula timbul apabila melihat suasana santai tarian ‘twist’ yang tular itu seolah-olah menggambarkan keadaan yang diharapkan semakin kelabu.
“Paling merisaukan rakyat adalah kehadiran dan keterlibatan Ketua Hakim Negara. Sejarah membuktikan bahawa individu terhormat itu sentiasa sahaja berada di bawah radar pemerhatian rakyat.
“Pada suatu ketika, waima percutian Ketua Hakim sekali pun dipertikaikan rakyat dan media,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Reezal Merican menegaskan tidak perlu dibangkitkan sama ada mereka menari ‘satu’ atau ‘setengah lagu’, tetapi yang menjadi pertikaian adalah tidak wujud garis pemisah antara golongan tersebut.
“Setahu saya, apa yang berlaku sememangnya melanggar Kod Etika Hakim (2009). Malah, situasi itu mewujudkan kesangsian dan salah tanggap yang sangat nyata. Malaysia baharu tidak boleh menerima kecuaian begini.
“Para hakim sewajarnya menolak gambaran ketidaksopanan dalam pergaulan mereka. Saya yakin, Ketua Hakim tidak terkecuali daripada kod etika ini,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE










