KEMAMAN 20 Jan. – Persatuan Pemandu Pengusaha Van dan Bas Sekolah Daerah Kemaman yang disertai lebih 30 ahli mendesak pihak berwajib agar memantau serta mengambil tindakan terhadap pengusaha van sekolah yang beroperasi secara haram di daerah ini.
Kegiatan itu dikesan berlaku melibatkan beberapa sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kijal, SMK Chukai, SMK Geliga, SMK Binjai, SMK Rantau Petronas dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok.
Difahamkan, harga tambang murah yang ditawarkan dipercayai menjadi tarikan kepada ibu bapa

beralih kepada van haram terbabit tanpa menyedari tindakan itu mengundang risiko tinggi kerana anak-anak mereka tidak dilindungi insurans jika ditimpa kemalangan.
Pengerusinya, Kamariah Abdullah berkata, tindakan pengusaha haram yang menjalankan aktiviti tersebut boleh mengundang bahaya kerana kenderaan yang digunakan tidak mempunyai permit sah dan sudah tentu terdedah kepada bahaya.
“Van haram ini tawarkan tambang lebih murah iaitu antara RM15 hingga RM20, ia lebih rendah berbanding tambang van atau bas sekolah yang ada permit.

“Sekarang pengusaha van haram ini juga makin keterlaluan kerana sudah berani promosikan perkhidmatan mereka dalam media sosial termasuk Facebook,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin.
Kamariah mendedahkan, masalah van sekolah haram itu semakin serius sejak sesi persekolahan baharu dibuka awal bulan ini dan dia sendiri mengakui mengalami pengurangan ketara pelajar yang menaiki kenderaannya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Zulkarnain Yasin meminta persatuan itu membuat aduan rasmi kepada jabatan itu berhubung perkara tersebut untuk tindakan lanjut.
Tegas beliau, individu yang terlibat dengan aktiviti mengusahakan van haram itu boleh didenda minimum RM1,000 dan maksimum RM10,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika didapati bersalah.










