JASIN – Sepasang suami isteri penoreh getah maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta di Kilometer 4, Jalan Jasin-Bemban di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu, kedua-dua warga emas, Wong Yok Na, 71, dan Tio Houi, 65, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian, mangsa yang menaiki motosikal jenis Honda Dream.dipercayai dalam perjalanan dari Taman Maju menuju ke kebun durian di Tiang Dua.
“Setiba di tempat kejadian, motosikal dinaiki pasangan suami isteri ini dirempuh oleh sebuah kereta jenis Proton Pesona yang terbabas ke laluan bertentangan.
“Akibat kemalangan itu, pasangan berkenaan tercampak dan maut di tempat kejadian manakala pemandu serta penumpang kereta tersebut yang masing-masing berumur 25 tahun hanya cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, berdasarkan siasatan awal, pihaknya tidak menolak kemungkinan kemalangan berlaku disebabkan pemuda tersebut memandu dalam keadaan mengantuk.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Jasin untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE










