GEORGE TOWN 19 Jan. – Kerajaan Pulau Pinang hari ini menafikan dakwaan bahawa Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mengambil alih sepenuhnya Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, PDC hanya diletakkan di bawah satu kementerian yang berperanan untuk memantau pengoperasian dan bukan mengambil alih pentadbiran sepenuhnya.
“Sebenarnya itu bukan take over. Cuma sistem pentadbiran negara ada kementerian diberi tanggungjawab. Dalam kes ini mungkin kementerian hanya berfungsi untuk memantau prestasi, bukan ambil alih.
“Harus diingatkan PDC seperti Perbadanan Bukit Bendera adalah diluluskan mengikut undang-undang. Ada kuasa undang-undang untuk mengawal pengoperasian dan peranan satu-satu perbadanan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian stesen bawah Bukit Bendera (Fasa Ketiga) oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng di sini hari ini.
Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong dalam kenyataan hari ini menyifatkan kerajaan negeri sebagai tidak mempunyai kuasa kerana membenarkan kerajaan pusat menerusi Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mengambil alih PDC.
Oh berkata, tindakan itu menunjukkan kerajaan negeri seolah-olah mengabaikan kepentingan rakyat di negeri itu.
Ditanya sama ada pihaknya sudah dimaklumkan mengenai perkara itu, Chow yang juga pengerusi PDC berkata, pihaknya belum menerima apa-apa makluman sebaliknya hanya mengetahui perkara itu menerusi media. – BERNAMA
PDC yang ditubuhkan pada 17 Nov 1969 adalah agensi pembangunan unggul kerajaan negeri Pulau Pinang yang bertanggungjawab untuk menerajui pertumbuhan sosio-ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kualiti hidup penduduk Pulau Pinang. – BERNAMA










