KUALA LUMPUR 18 Jan. – Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman (gambar) menzahirkan rasa lega dan berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Sesyen Selayang semalam yang menjatuhkan hukuman penjara kepada individu yang bertindak kejam terhadap kucing di sebuah kedai dobi layan diri pada September tahun lepas.
Baginda bagaimanapun turut berasa amat dukacita dan sedih kerana masih berlaku beberapa insiden melibatkan kekejaman terhadap haiwan antaranya kes anak kucing dipijak sehingga mati, serta perbuatan meracun dan membakar anjing.

“Saya memohon kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menyemai sifat kasih sayang dan belas kasihan terhadap haiwan-haiwan yang terbiar di jalanan yang tidak mampu untuk mempertahankan diri,” titah Tengku Permaisuri Norashikin menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook Selangor Royal Office semalam.
Mahkamah semalam menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas seorang lelaki yang videonya tular dalam laman media sosial berhubung tindakan kejam bersama rakannya membunuh kucing yang dipercayai bunting dengan memasukkan haiwan itu ke dalam mesin pengering di kedai dobi.
Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas pemandu teksi A. Mohanraj, 42, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah, pada sebutan kes semalam.










