WASHINGTON 18 JAN. – KUMPULAN hak asasi manusia Amerika Syarikat (AS) menyelar pelantikan baharu Timbalan Penasihat Keselamatan Kebangsaan AS yang sebelum ini pernah berkhidmat dalam kumpulan anti-Islam selama hampir sedekad.
Al-Jazeera melaporkan, Presiden Donald Trump melantik Charles M. Kupperman pada minggu lepas bagi membantu Penasihat Keselamatan Kebangsaan, John Bolton dan beliau menyifatkan Kupperman sebagai individu yang mempunyai peranan besar selama lebih empat dekad berhubung polisi keselamatan negara dan program-program berkaitan.

Kupperman sebelum ini berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah Polisi Keselamatan Pusat (CSP) antara 2001 dan 2010, mengikut rekod percukaian.
Pusat Undang-undang Kemiskinan Selatan (SPLC) yang berpangkalan di Alabama merujuk CSP sebagai sebuah kumpulan anti-Islam yang mempromosikan teori konspirasi bahawa masyarakat beragama Islam ‘menceroboh’ kerajaan AS dan cuba mewujudkan undang-undang Islam di negara ini.
CSP PROMOSI KEBURUKAN ISLAM
CSP diterajui oleh Frank Gaffney Jr. dan beliau giat mempromosikan keburukan Islam termasuk mendakwa bekas pemimpin Iraq iaitu Saddam Hussein merupakan dalang kepada insiden pengeboman di Oklahoma City pada 1995.

Gaffney juga mendakwa bekas Presiden, Barack Obama sudah memeluk Islam dan penasihat kepada Hillary Clinton iaitu Huma Abedin terlibat dalam operasi pergerakan Ikhwanul Muslimin.
Pada 2011, Gaffney mendesak Kongres untuk membentuk versi terkini Jawatankuasa Aktiviti Bukan Amerika yang ditubuhkan pada 1938. Bagaimanapun, dalam versi beliau, jawatankuasa itu akan ‘menghapuskan’ orang Islam yang didakwa mahu melemahkan institusi AS.
KUPPERMAN ‘MUSANG DALAM REBAN AYAM’
Sehubungan itu, Majlis Hubungan Islam Amerika Syarikat (CAIR) mendesak supaya pentadbiran Trump menarik balik pelantikan Kupperman.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kerajaan CAIR, Robert McCaw berkata, pelantikan tersebut boleh diibaratkan seperti Trump ‘melepaskan musang ke dalam reban ayam’ di mana Islamofobia dijadikan sebagai fokus utama keselamatan AS.
McCaw juga menegaskan bahawa pelantikan Kupperman perlu dibatalkan serta-merta dan beliau disifatkan tidak mempunyai tempat dalam kerajaan AS.
SIAPA SELAIN KUPPERMAN?
SPLC menambah, Kupperman adalah salah seorang daripada beberapa individu yang mempunyai hubungan dengan CSP untuk menyertai pentadbiran Trump.
Mereka termasuk Kellyanne Conway yang menghasilkan undian meragukan untuk CSP. Antara lain undian itu mendakwa lebih separuh daripada penduduk Islam AS mahu menukar sistem pentadbiran negara kepada undang-undang Islam.
Bolton juga sering kali muncul dalam program radio dikendalikan Gaffney.
Nathan Lean, Pengarang The Islamophobia Industry mengatakan ‘bukannya sesuatu yang kebetulan’ bahawa individu yang mempunyai hubungan jelas dengan kumpulan anti-Islam sedang dinaikkan dalam dunia Trump.
BOLTON PERTAHAN PELANTIKAN
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh White House, Bolton memaklumkan Kupperman sudah menjadi penasihat kepadanya sejak lebih 30 tahun termasuk ketika beliau berkhidmat sebagai Penasihat Keselamatan Kebangsaan kepada Trump.
“Kepakaran Kupperman dalam bidang pertahanan, kawalan senjata dan aeroangkasa akan membantu agenda keselamatan Trump,” katanya.
Ketika melancarkan kempen pemilihan Presiden AS pada 2016, Trump menyeru supaya sekatan dan larangan masuk ke negara ini dilaksanakan sepenuhnya kepada masyarakat Islam.
Setelah dilantik sebagai Presiden, Trump mengeluarkan arahan larangan kemasukan pelancong dari beberapa negara Islam.










