KANGAR – Seorang lelaki maut manakala anak perempuannya cedera selepas motosikal dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Kilometer 2, Jalan Chemumar, Simpang Ampat di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa, Mohd. Shahrizal Wahid, 36, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.
Sementara anaknya, Nur Khazreena Syamimi, 3, mengalami luka pada bahagian muka, tangan dan kaki.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan membabitkan motosikal yang datang dari arah Jalan Tengku Budriah menghala Kampung Chemumar itu disyaki berpunca daripada pokok tumbang.
“Motosikal tersebut terbabas dan jatuh di tengah jalan sebelum terseret ke hadapan dengan kesan calar di atas tar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, penunggang motosikal maut di tempat kejadian manakala anaknya yang cedera dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah di sini untuk mendapatkan rawatan.
Menurutnya, motosikal tersebut didapati mempunyai kesan calar pada bahagian penutup hadapan sebelah kiri selain tiada sebarang kesan brek dijumpai di atas jalan.
“Cuaca baik ketika kejadian dan permukaan jalan kering,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE










