KLANG – Seorang lelaki nyaris rentung apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah jenis Porsche Cayenne S yang dipandunya terbakar dalam satu kejadian di Kilometer 23, Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) menghala ke Pelabuhan Klang di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa berusia 48, berjaya keluar dari kenderaan itu sebelum api marak membakar lebih 80 peratus SUV berkenaan.
Difahamkan kejadian tersebut mengakibatkan kesesakan lebih dua kilometer di lebuh raya berkenaan.
Ketua Balai Bomba Taman Sri Andalas, A. Romzi Abu berkata, siasatan awal mendapati kebakaran berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Pelabuhan Klang.
Katanya, sewaktu memandu secara tiba-tiba bahagian enjin kenderaan itu berasap sebelum memberhentikan kenderaannya di tepi laluan lebuh raya itu.
“Seramai lima anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 11.05 pagi.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati api sedang marak di bahagian depan SUV terbabit sebelum kebakaran berjaya dipadamkan beberapa minit kemudian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelas beliau, kebakaran itu mengakibatkan 80 peratus bahagian kenderaan musnah.
Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – K! ONLINE










