Lelaki warga Nepal maut dilanggar lokomotif - Utusan Malaysia

Lelaki warga Nepal maut dilanggar lokomotif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELABUHAN KLANG – Tindakan seorang lelaki warga Nepal menceroboh landasan kereta api berdekatan Central Spectrum Indah Point Fasa 1, Pulau Indah di sini membawa padah apabila dia maut dilanggar sebuah lokomotif, petang semalam.

Dalam kejadian pukul 6.45 petang itu, mangsa berusia 25 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di seluruh anggota badan termasuk kepala.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang juga pekerja sebuah kilang berdekatan lokasi kejadian telah menceroboh landasan berkenaan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila lokomotif yang membawa kontena sedang bergerak dari Pelabuhan Barat menuju ke Pelabuhan Klang telah terlanggar mangsa yang cuai melintas landasan.

“Akibat pelanggaran itu, badan mangsa ditemui di bawah roda lokomotif berkenaan dengan kesan cedera parah pada bahagian kepala, kaki serta kesan kecederaan di seluruh badan,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Shamsul Amar berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk dibedah siasat.

Jelas beliau, siasatan pihaknya di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan pagar telah dipotong bagi memudahkan laluan menyeberang landasan.

“Lokasi kemalangan merupakan laluan pintas yang digunakan oleh pekerja dari tempat kerja untuk pulang ke asrama pekerja,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×