Malaysia tidak akan jadi tuan rumah acara babit Israel - Utusan Malaysia

Malaysia tidak akan jadi tuan rumah acara babit Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kabinet memutuskan Malaysia tidak akan menjadi tuan rumah kepada sebarang program atau acara termasuk sukan yang membabitkan penyertaan warga Israel.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pada mesyua­rat Kabinet dua minggu lalu, Jemaah Menteri juga memutuskan wakil Israel tidak dibenarkan masuk ke Malaysia untuk menghadiri sebarang acara dan program.

“Keputusan kabinet dua ming­gu lalu menunjukkan pendirian tegas kerajaan Malaysia,” katanya pada sidang media selepas menerima memorandum daripada 43 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong pembebasan Palestin di Wisma Putra di sini semalam.

Sebelum itu, Saifuddin menerima memorandum yang diserahkan Pengerusi Boycott Divesment Sanctions (BDS) Malaysia, Prof. Dr. Mohd. Nazari Ismail yang menyatakan sokongan terhadap tindakan kerajaan Malaysia yang tidak membenarkan atlet Israel memasuki negara ini.

“Saya berterima kasih kepada anda semua yang tampil dengan satu memorandum menyokong rayuan bagi Palestin. Kami menanti untuk bekerjasama erat berhubung saudara di Palestin,” katanya.

Pada 10 Januari lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan bahawa kerajaan kekal dengan pendirian untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak yang akan berlangsung bermula 29 Julai hingga 4 Ogos hadapan.

Dr. Mahathir berkata, sekiranya skuad Israel itu tetap berdegil mahu menyertai kejohanan tersebut, maka ia adalah satu kesalahan.

Tindakan Malaysia yang tidak membenarkan atlet Israel menyertai kejohanan itu yang me­ngundang bantahan Jawatankuasa Olimpik Israel yang memberi tekanan berterusan kepada pe­nganjur agar atlet mereka diberikan visa. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×