KUALA TERENGGANU – Seorang pelajar perubatan di sebuah institusi pengajian tinggi awam di negeri ini dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam atas pertuduhan muncikari atau menjadi bapa ayam pada Ogos tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Luqman Zulkepli, 29, yang berasal dari Panji Alam di sini bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Luqman didakwa melakukan muncikari atau menjadi orang tengah terhadap perlakuan sumbang antara seorang perempuan dan lelaki di sebuah hotel di bandar raya ini.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 2.43 pagi hingga 6.15 petang pada 27 Ogos dan 28 Ogos.
Tertuduh yang kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dituduh di bawah Seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda maksimum RM5,000 atau sebatan tidak lebih enam kali jika sabit kesalahan.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.










