PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada pukul 9 pagi esok berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan berkata, abangnya, Datuk Abdul Latif Abdul Rahim turut didakwa atas kesalahan sama.
“SPRM telah mendapat izin mendakwa mereka daripada Pejabat Peguam Negara.
“Kedua-dua mereka ditahan pada pukul 4.30 petang tadi ketika hadir ke Ibu Pejabat SPRM di sini,” katanya.
Pendakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Terdahulu, Abdul Azeez dan abangnya tiba di ibu pejabat SPRM di sini hari ini kira-kira pukul 2.55 petang dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Perdana berwarna merah.
Kedua-dua mereka ditahan selepas kira-kira satu jam setengah memberi keterangan kepada SPRM.
Sebelum ini, Abdul Azeez yang juga bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) pernah ditahan oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penerimaan rasuah daripada sebuah syarikat kontraktor bagi satu projek melibatkan TH September lalu.
Beliau disiasat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) – K! ONLINE










