Tiga nelayan terjun laut elak dicekup - Utusan Malaysia

Tiga nelayan terjun laut elak dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Tiga nelayan tempatan yang masih berdegil menggunakan pukat haram jenis rawa sorong bertindak terjun ke dalam laut selepas panik melihat bot peronda Maritim Malaysia (APMM) di perairan Yan dekat sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.40 pagi itu, tiga nelayan terbabit memandu bot ke kawasan cetek sebelum terjun ke dalam laut dan berenang ke pantai untuk melarikan diri.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, pihaknya mengesan kegiatan nelayan memukat ikan secara haram menggunakan rawa sorong pada jarak 0.3 batu nautika barat Kuala Dulang Kecil, Yan dekat sini.

“Sebaik menyedari kehadiran bot peronda APMM, nelayan terbabit cuba melarikan diri dengan membawa botnya ke kawasan cetek.

“Ketiga-tiga nelayan itu kemudian terjun ke dalam laut dan berenang ke tepi pantai sebelum melarikan diri dengan meninggalkan bot,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, pihaknya merampas peralatan menangkap ikan, enjin dan bot dianggarkan bernilai RM35,000.

“Bot itu kemudian dibawa ke Jeti Pangkalan Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985,” ujarnya.

Tambahnya, aktiviti rawa sorong akan terus dibanteras kerana ia menjejaskan ekosistem hidupan laut.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×