Tiga sekawan curi motosikal ditahan polis - Utusan Malaysia

Tiga sekawan curi motosikal ditahan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Perbuatan jahat tiga sekawan termasuk dua remaja melakukan jenayah curi motosikal sejak lima bulan lalu berakhir selepas kesemuanya ditahan dalam serbuan di tiga lokasi berasingan sekitar daerah ini. 

Kesemua suspek berusia 15 hingga 20 tahun itu ditahan bermula Sabtu dan Ahad lalu. 

Ketua Polis Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, tangkapan pertama dilakukan hasil rondaan cegah jenayah oleh anggota Balai Polis Sungai Kapar yang mengesan seorang lelaki duduk di atas sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC berwarna biru dalam keadaan mencurigakan pukul 11.50 malam, Sabtu lalu di Taman Meru Ria, di sini.

Katanya, pemeriksaan terhadap motosikal itu mendapati tidak mempunyai nombor pendaftaran di bahagian depan dan belakang. 

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati motosikal tersebut dilaporkan hilang di Kelana Jaya dekat sini. 

“Soal-siasat terhadap suspek membawa penahanan dua lagi suspek yang juga remaja masing-masing berusia 15 dan 16 tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

Kata beliau, dua suspek remaja itu yang masih bersekolah ditahan di antara pukul 12.45 pagi dan 1.25 pagi kelmarin di Cempaka Sari Batu 4, Jalan Kapar dan Jalan Haji Othman Baru, Kampung Rantau Panjang Batu 3 di sini. 

Nurulhuda menambah, turut dirampas bersama salah seorang suspek remaja itu adalah dua rangka motosikal di dalam semak yang disyaki berkait kes kecurian motosikal di Meru. 

“Hasil siasatan kumpulan suspek bergiat aktif sejak September tahun lalu dengan  modus operandi mereka adalah menggunakan alat khas untuk buka tempat kunci motosikal. 

“Mereka juga membahagikan tugas dengan suspek berusia 20 dan 16 tahun melakukan tinjauan dan curi manakala seorang lagi suspek meleraikan motosikal yang telah dicuri,” katanya. 

Jelas beliau, kesemua suspek kini direman empat bermula Ahad lalu dengan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×