3 nelayan nekad terjun laut - Utusan Malaysia

3 nelayan nekad terjun laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 15 Jan. – Gara-gara panik melihat bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menghampiri mereka, tiga nelayan tempatan nekad terjun ke dalam laut di perairan Yan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.40 pagi itu, tindakan tersebut dipercayai berikutan kedegilan mereka yang disyaki masih menggunakan pukat haram jenis rawa sorong di sekitar perairan itu.

Pengarah Zon Maritim Malaysia Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, pihaknya mengesan kegiatan terbabit pada jarak 0.5 kilometer di barat Kuala Dulang Kecil dekat sini.

“Sebaik sahaja menyedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia, nelayan terbabit cuba melarikan diri dengan memecut botnya ke kawasan cetek.

“Kesemua mereka kemudian terjun ke laut dan berenang ke tepi pantai sebelum melarikan diri dengan meninggalkan bot di situ,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Mahmad Faizal, pihaknya merampas peralatan menangkap ikan, enjin dan bot yang dianggarkan bernilai RM35,000.

“Bot itu kemudian dibawa ke Jeti Pangkalan Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985,” ujarnya.

Kata beliau, aktiviti rawa sorong akan terus dibanteras kerana ia menjejaskan ekosistem hidupan laut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×