SATUN 15 Jan. – Program tahunan ‘Ziarah Mahabbah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ke Wilayah Andaman, Thailand’ mendapat sambutan baik dari masyarakat setempat.
Selepas Krabi (2015), Phuket (2016), Phang Nga (2017) dan Trang (2018), tiba masanya pula masanya wilayah terdekat iaitu wilayah Satun menjadi tuan rumah pada tahun ini, 2019.
Sepertimana pada tahun-tahun sebelum ini, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat mengetuai sendiri lawatan kerja sehari suntuk ke Satun, Thailand baru-baru ini.
Kunjungan sarat dengan program itu bermula pada awal pagi di Nat Chalong bagi melancarkan ‘Pameran dan Promosi Usahawan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM)’ oleh pihak ATAM MAIPs serta ‘Promosi Pelancongan Negeri Perlis’ dikendalikan oleh Pejabat Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Perlis yang turut disambut oleh Naib Gabenor wilayah itu, Vongsakorn Noonchookan.
Destinasi ke dua ialah ‘Majlis Penutupan dan Penyampaian hadiah serta sijil penyertaan’ bersempena ‘Klinik Sukan Bagi Memperkenalkan Woodball, Dodgeball dan Frisbee’ anjuran UiTM Perlis yang melibatkan 150 orang pelajar Satun Wittaya School.
Persinggahan ketiga pula ialah sesi temubual di Stesen Radio Thailand -Satun dan juga penyerahan surat hasrat (LOI) daripada pejabat RTM Perlis kepada pihak Thailand untuk meninjau peluang-peluang kerjasama penyiaran yang dapat dilaksanakan secara bersama.
Lokasi keempat ialah kemuncak program berupa ‘Seminar Ummatan Wahidah’ yang dihadiri oleh lebih 400 audien dari kalangan wakil-wakil daripada keenam-enam wilayah Andaman dan juga masyarakat setempat di Masjid Uthman Bin Affan Darul Jannah, Satun yang disempurnakan perasmiannya oleh Tuanku Raja Muda Perlis. Mufti Perlis. Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin ialah salah seorang ahli panelnya.
Dalam program sampingan pada sebelah pagi, Tuanku Raja Puan Muda diiringi para kepimpinan Persatuan Muslimah Andaman berkenan berangkat mengadakan lawatan ke ‘Asrama Anak Yatim Emirates – Satun’ dan menyerahkan sumbangan MAIPs kepada 55 orang penghuni rumah amal berkenaan.
Pada sebelah tengaharinya, diadakan ‘Program Santai Budaya & Puisi’ dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran.
Selepas program DBP, Tuanku Raja Muda diiringi Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor berkenan menerima sembah mengadap oleh Yang DiPertua-Yang DiPertua daripada enam Majlis Agama Islam Wilayah Andaman atau wakil mereka dalam siri perbincangan perancangan aktiviti bersamanya bagi tahun ini.
Dalam kesibukan program tersebut, baginda berdua turut berkenan meluangkan masa meninjau sendiri sebentar ‘Bengkel Pengurusan Zakat’ anjuran MAIPs dan ‘Sesi latihan bolasepak bersama’ melibatkan 25 orang pelajar sekolah sukan negeri SMK Syed Hassan dengan kesebelasan para pemain pilihan terbaik dari sekolah-sekolah di Satun yang dikendalikan oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis dengan rakan mereka di sana.
Turut dianjurkan bersempena program bersepadu sepanjang tempoh 4 sehingga 6 Januari 2019 di Satun itu ialah :
1) Program Pembelajaran Bahasa Melayu yang uruskan oleh Institut Pendidikan Guru (IPG) Malaysia Kampus Perlis, 2) Klinik Sukan dikendalikan UiTM Cawangan Perlis, 3) Program Khidmat Masyarakat di Ban Khuan oleh pihak POTENSI Malaysia – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan 4) Bengkel Pengajaran Tulisan Jawi Guru-Guru Sekolah Agama Wilayah Satun di bawah bimbingan DBP.
Program berakhir dengan solat maghrib berjamaah di Masjid Kg Wang Kelian, Perlis . – UTUSAN ONLINE










