KUALA LUMPUR 15 Jan.- Lelaki dipercayai warga asing yang ditemukan mati dalam longkang di tepi Jalan Ulu Yam menghalang ke Batu Caves dekat sini, Ahad lalu dipercayai didera.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, hasil laporan bedah siasat mendapati terdapat beberapa kecederaan pada bahagian abdomen serta perut dipercayai kesan bara api daripada objek panas.
“Selain itu, kecederaan pada lengan kanan dan kiri serta badan mangsa iaitu dua jari kaki kanan dan satu jari kaki kiri dipotong. Malah, ada kesan jerut pada kedua-dua pergelangan kaki dan tangan serta kecederaan pada kedua-dua tapak kaki mangsa dipercayai akibat objek tumpul.
“Hasil bedah siasat yang dilakukan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendapati punca kematian mangsa adalah kecederaan pada tisu lembut di seluruh badan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Samsor, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu termasuk mengenal pasti identiti suspek yang terbabit dalam kejadian berkenaan.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.- UTUSAN ONLINE










