AWANG menyokong langkah Kementerian Pendidikan memperkenalkan lima inisiatif merangkumi sembilan intervensi bagi meringankan bebanan tugas guru di seluruh negara. Ia merupakan perancangan jangka pendek di bawah bahagian proses pengajaran yang menjadi tumpuan utama kementerian itu tahun ini.
Sudah pasti tindakan kementerian tersebut sedikit sebanyak akan mengurangkan bebanan guru yang sebelum ini tugas mereka banyak terganggu dengan kerja-kerja perkeranian dan pentadbiran sehingga menjejaskan tumpuan kepada tugas hakiki iaitu mengajar.
Awang berharap selain lima inisiatif tersebut, apa yang patut diberikan keutamaan juga ialah menyelesaikan masalah guru duka lara iaitu guru yang terpaksa terpisah dengan pasangan masing-masing kerana tugas.
Ia bukanlah isu baharu malah sudah lama berlanjutan dan sentiasa mendapat perhatian serius daripada kerajaan terdahulu. Oleh itu adalah wajar Kementerian Pendidikan turut memberi tumpuan kepada soal ini terutamanya melibatkan guru-guru yang sudah lebih lima tahun terpisah dengan pasangan masing-masing dan bertugas di kawasan pedalaman Sabah mahupun Sarawak.
Awang menyimpulkan masalah guru duka lara jika tidak ditangani betul-betul, apa juga inisiatif bertujuan meringankan beban guru tidak akan ke mana. Mungkin jumlahnya tidak ramai tetapi ia tetap boleh menjejaskan dunia pendidikan di negara kita.
Awang – Kenang jasa guru.











