KUALA LUMPUR 14 Jan. – Penggunaan perkataan ‘monyet’ yang tertera pada jaket dipakai oleh individu yang didenda melakukan kerja amal mengutip sampah di Semporna, Sabah amat tidak bersesuaian kerana dilihat bersifat menghina.
Aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, walaupun pihak berkuasa tempatan tersebut mempunyai niat yang baik untuk mendidik golongan yang suka membuang sampah dan mencegah orang lain melakukan perkara sama, namun, tindakan yang dilakukan agak keterlaluan.
Jelasnya, khidmat masyarakat merupakan hukuman yang bertujuan memberi manfaat kepada masyarakat yang menerima kesan akibat tindakan pelaku dan hakim selalunya memerintahkan pesalah melakukan khidmat itu sebagai tambahan atau ganti kepada hukuman lain, seperti penjara atau denda.
“Dalam hal ini, apa yang menjadi keutamaan adalah memberi kesedaran kepada pesalah dengan menimbulkan rasa malu apabila mereka diwajibkan melakukan kerja-kerja kemasyarakatan seperti mengutip sampah dan sebagainya.
“Namun, ini tidak bermakna mereka perlu berhadapan dengan penghinaan apabila disamakan dengan haiwan. Menimbulkan rasa malu bukan bermakna kita boleh menghina pesalah dengan sewenang-wenangnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hukuman yang dilaksanakan oleh Majlis Daerah Semporna sejak 1 Januari lalu itu merupakan denda pemakaian jaket yang hanya dikenakan terhadap pemegang dokumen Pendaftaran Orang Asing Khas dan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Bagi rakyat tempatan dan pelancong asing pula dikenakan kompaun mengikut undang-undang kecil Anti Kutu Sampah, jika berbuat demikian. -UTUSAN ONLINE










