DORTMUND 14 Jan.- Bintang tengah Borussia Dortmund, Mario Gotze tekad untuk memaksa dirinya kembali bekerja keras untuk berada dalam perancangan pengendali kelab itu, Lucien Favre.
Pemain Jerman itu, sekadar melakukan 15 penampilan dalam semua kejohanan musim ini dan hanya sembilan kali tampil dalam kesebelasan utama buat Bundesliga berkenaan.
Gotze perlu menunggu penampilan pertama saingan Bundesliga hingga Oktober tetapi dia menikmati perlawanan yang lebih manis pada penghujung 2018, apabila tampil dalam tujuh perlawanan berturut-turut.
“Terdapat satu ketika segalanya tidak berjalan seperti apa yang dirancang. Saya mengakui permulaan ini agak rumit.
“Tetapi saya seorang yang mengutamakan pasukan berbanding diri saya sendiri. Buat masa ini, saya berusaha untuk berada pada tahap terbaik untuk tampil beraksi bersama pasukan,” katanya.
Sementara itu, Favre mengakui perancang tengah itu mula menyesuaikan diri dengan corak permainan yang diketengahkan.
“Gotze tidak pernah menunjukkan kelemahannya dalam setiap sesi latihan disertainya. Dia berusaha dengan baik, menyerang dan bertahan untuk pasukan,” jelasnya.
Dortmund menerajui Bundesliga dengan kelebihan enam mata ke atas Bayern Munich dan bakal berdepan RB Leipzig dalam aksi seterusnya. – AGENSI










