Tuanku Muhriz utamakan rakyat - Utusan Malaysia

Tuanku Muhriz utamakan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANG Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir telah mempamerkan kepimpinan unggul sebagai pemerintah yang sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai agenda utama baginda.

Dalam setiap ucapan pada majlis atau persidangan keraja­an yang dihadiri baginda, kebajikan dan kesejahteraan rak­yat sentiasa dibangkitkan oleh baginda yang sentiasa mengambil berat segenap lapisan ma­syarakat di negeri ini.

Semasa merasmikan Persidangan Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14

TUANKU MUHRIZ IBNI ALMARHUM TUANKU MUNAWIR
TUANKU MUHRIZ IBNI ALMARHUM TUANKU MUNAWIR 

pada September tahun lalu, Tuanku Muhriz bertitah, bantuan yang diberi kepada rakyat miskin dan memerlukan telah meringankan beban mereka dalam menjalani kehidupan seharian.

Titah baginda, kerajaan te­lah menyediakan peruntukan de­ngan matlamat supaya kekayaan negeri ini dikongsi dan diagihkan seadil-adilnya kepada rak­yat melalui Dasar Jaringan Ke­selamatan Sosial.

“Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM1.13 bilion bagi tempoh 2008 hingga 2017 yang melibatkan seramai 1.27 juta penerima. Beta percaya dengan jumlah perbelanjaan tersebut, rakyat telah mendapat manfaat hasil kekayaan negeri ini.

“Beta mahu supaya kejayaan melaksanakan program dan projek yang telah dirangka mela­lui dasar Jaringan Keselamatan So­­sial ini diteruskan dan diperluaskan skop pelaksanaannya. Dasar ini telah memberikan kebaikan dalam usaha meningkatkan kebajikan kepada rakyat,” titah baginda.

Titah Tuanku Muhriz itu membuktikan bahawa kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa mendapat utama di hati baginda sebagai pemerintah berjiwa rakyat.

Diputerakan pada 14 Januari 1948, Tuanku Muhriz adalah satu-satunya putera daripada enam adik-beradik kepada pasangan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Ke-9, Tuanku Munawir Tuanku Abdul Rahman dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Ampuan Durah Tunku Besar Burhanuddin.

Pada tahun 1960, baginda telah dilantik sebagai Tunku Laxamana dan ditabalkan sebagai Tunku Besar Seri Menanti pada 1961 hingga dimah­syurkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 berikutan kemangkatan Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman pada 27 Disember 2008.

Tuanku Muhriz telah dimasyhurkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan oleh Undang Yang Empat di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pada 29 Disember 2008.

Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Tuanku Muhammad, Kuala Pilah dan Sekolah Tunku Besar Tampin sebelum ke Sekolah King George V, Seremban.

Tuanku Muhriz memperoleh sijil O-Levels dan A-Levels ketika melanjutkan pengajian di Aldenham School, Elstree, England.

Baginda kemudian menyambung pengajian dalam bidang Perundangan di University of Wales, Aberystwyth, Wales dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) pada tahun 1970.

Semoga bertambah daulat Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk terus memayungi kerajaan dan rakyat negeri ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×