PERISTIWA pingat emas dibatalkan ketika memenangi perlumbaan jalan kaki 5,000 meter (m) dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak akan terus menjadi pengajaran yang amat berguna kepada Nurul Alyahaziqah Kamarazaman bagi meneruskan kariernya sebagai atlet.
Menceritakan detik hitam tersebut, Alyahaziqah mengakui dia hampir menarik diri daripada menyertai acara 10,000m dalam temasya dwitahunan itu, bagaimanapun, berbekalkan sokongan daripada ibunya, Nor Zaiton Wan Mohd. Nawi serta jurulatihnya, Teoh Boon Lim dan kontinjen Kelantan membuatkan dia tidak meneruskan hasrat tersebut.
Nasib nyata menyebelahi anak bongsu daripada tujuh adik beradik itu apabila berjaya memenangi acara 10,000m dan bercakap mengenai perancangan masa depannya, dia menyimpan impian untuk membuat penampilan dalam Sukan SEA 2019, selain, bertanding dalam Sukma bagi edisi 2020 serta 2022.
“Memang tidak dapat dinafikan insiden itu benar-benar meragut semangat dan saya hampir menarik diri. Namun, mengenangkan ibu saya datang dari jauh, selain, sokongan daripada jurulatih dan rakan-rakan saya meneruskan perjuangan.
“Insiden itu pastinya menjadi pengajaran berguna kepada saya kerana daripada kesilapan itu saya dapat membetulkan teknik saya dan ia juga mematangkan saya untuk mengambil bahagian dalam kejohanan lain pada masa depan.
“Kali pertama saya menyertai Sukma pada 2016 di Sarawak dan saya masih boleh menyertai dua lagi edisi Sukma. Saya mahu memenangi pingat pada temasya itu, selain sasaran mewakili Malaysia dalam Sukan SEA 2019,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pembatalan disebabkan Alyahaziqah membengkokkan kaki serta berlari anak (floating) sebanyak dua kali pada perlumbaan 5,000m menyaksikan pegawai teknikal melayangkan kad merah kepadanya.
Menceritakan pengalamannya sepanjang menjadi atlet jalan kaki, Alyahaziqah yang begitu meminati pelakon popular, Mira Filzah itu mengakui dia pernah berasa menyesal kerana menceburi sukan tersebut, lebih-lebih lagi ibunya juga tidak merestui minatnya itu.
“Saya mula menjinakkan diri dalam sukan ketika berusia 11 tahun kerana terpengaruh dengan abang saya. Acara ini tidak sepopular seperti 100m, 200m dan 400m, malah, ramai orang beranggapan ia penat sebab jarak jauh tetapi sebenarnya tidak.
“Tidak dinafikan saya pernah menyesal kerana menyertai acara ini sebab perlu menjalani sesi latihan yang lama setiap hari sehingga tiga jam lamanya, malah, kadang-kadang mental saya berasa amat penat tetapi lama-lama ia sudah menjadi kebiasaan.
“Perkara yang saya lakukan sepanjang beraksi adalah fikir tentang teknik, dan apa yang jurulatih cakap. Saya juga ingat keluarga dan fikir apa yang saya dapat selepas menamatkan perlumbaan. Keluarga suka saya menyertai sukan ini cuma pada mulanya ibu tidak menyukainya kerana saya berseluar pendek tetapi lama-lama dia OK,” ujarnya.










