83,617 pasport Malaysia hilang tahun lalu - Utusan Malaysia

83,617 pasport Malaysia hilang tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON 12 Jan. – Sebanyak 83,617 kes kehilangan pasport milik rakyat Malaysia dilaporkan sepanjang tahun lalu.

ABDUL HALIM ABDUL RAHMAN
ABDUL HALIM ABDUL RAHMAN 

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) , Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, jumlah itu meningkat berbanding 75,600 kes kehilangan pada 2017 dan 44,528 kes pada 2016.

Menurut beliau, peningkatan mendadak itu mendorong JIM melaksanakan denda kehilangan pasport iaitu RM200 bagi kehilangan kali pertama, RM500 (kali kedua) dan RM1,000 (kali ketiga) bermula 2 Januari lalu.

“Denda yang dikenakan itu bertujuan mendidik pemegang pasport supaya lebih bertanggungjawab dan berhati-hati menjaga dokumen keselamatan negara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Kawalan Kehormatan Penolong Penguasa Imigresen KP29 Siri 1 Tahun 2018 di Akademi Imigresen Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Eksekutif Pusat Anti Jenayah Kewangan Nasional, Datuk Seri Mustafar Ali dan Timbalan Ketua Pengarah Kawalan JIM, Datuk Shahril Ismail.

Menurut Abdul Halim, antara punca kehilangan pasport ialah hilang semasa dalam simpanan sebanyak 62,044 kes, hilang ketika berpindah (7,815); dicuri (5,022); tercicir (4,682) dan hilang dalam bencana (1,200).

Tambahnya, 1,149 pasport dilaporkan hilang akibat disimpan di tempat tidak selamat, hilang dalam kebakaran (559); tertinggal dalam kenderaan (173) dan diserah kepada pihak tertentu (170).

Dalam pada itu, Abdul Halim berkata, lebih 2.1 juta pasport antarabangsa Malaysia dikeluarkan sepanjang tahun lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×