Kecoh belon udara panas mendarat di atas jalan raya - Utusan Malaysia

Kecoh belon udara panas mendarat di atas jalan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL 10 Jan. – Pengguna jalan raya Residensi Merbok dekat sini pagi tadi dikejutkan dengan sebuah belon udara panas yang secara tiba-tiba mendarat di situ.

Kejadian itu yang tular di media sosial berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi ketika jalan raya berdekatan dengan Plaza Tol Jawi tersebut sedang sibuk dari kedua-dua arah.

Kejadian itu menyebabkan jalan raya berkenaan sesak seketika selepas belon udara panas tersebut menghalang salah satu lorong jalan namun tiada kemalangan dilaporkan.

PENGGUNA jalan raya Residensi Merbok, Nibong Tebal, Pulau Pinang dikejutkan dengan sebuah belon udar
PENGGUNA jalan raya Residensi Merbok, Nibong Tebal, Pulau Pinang dikejutkan dengan sebuah belon udara panas yang tiba-tiba mendarat di atas jalan raya itu kira-kira pukul 9.30 pagi tadi. – UTUSAN ONLINE

Belon udara panas itu merupakan salah satu belon yang diterbangkan dari Padang Awam Jawi di sini kira-kira pukul 8.30 pagi dengan membawa beberapa pengamal media dan wakil kerajaan negeri.

Aktiviti anjuran MyBalloon Adventure itu bertujuan mempromosi program tahunan Fiesta Belon Udara Panas Pulau Pinang yang dijadualkan berlangsung pada 9 dan 10 Februari depan di Padang Polo, Georgetown.

Ketika kejadian, belon udara panas itu turut dinaiki Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Warisan, Kebudayaan dan Kesenian negeri, Yeoh Soon Hin serta beberapa pengamal media.

Sementara itu, mengulas kejadian tersebut, pengarah MyBalloon Adventure, Izzati Khairuddin berkata, pendaratan di lokasi rawak seperti itu adalah perkara biasa memandangkan ia bergantung kepada faktor angin.

Begitupun, kata beliau, pihaknya tidak berkompromi dalam aspek keselamatan penumpang meskipun pendaratan itu boleh berlaku di mana-mana tempat.

“Kejadian pagi tadi bukanlah kemalangan dan ini bukan kali pertama kami mendarat di atas jalan raya.

“Belon udara panas boleh mendarat di mana terdapat kawasan lapang yang selamat untuk menurunkan belon.

“Bagi penerbangan pagi tadi, pendaratan telah dibuat di jalan raya dengan selamat dan mengikuti prosedur yang telah ditentukan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×