Seorang teman rapat sentiasa akan berada di sisi disaat anda susah mahupun senang dan menjadi penasihat jika kita susah membuat pilihan, itulah gambaran kepada tiga produk Huawei yang terkini di pasaran sekarang.
Ketiga-tiga produk itu adalah Mate 20 Pro, Watch GT dan Mate Book X Pro. Jom kita berkongsi satu-persatu produk canggih ini.
Huawei Mate 20 Pro yang boleh diumpamakan sebagai teman rapat anda tidak kira masa, tempat dan situasi.
Rekaan Huawei Mate 20 Pro yang menarik dengan padanan warna Twilight iaitu gabungan warna hitam, ungu dan biru membuatkan anda jatuh hati pandang pertama pada peranti serba indah ini.

Walaupun ia kelihatan berkilat dan licin, namun peranti ini rasa selesa apabila dipegang dan mudah untuk dibawa dengan kerangka diperbuat daripada gelas dan rekaan Hyper Optical Pattern.
Tidak perlu risau lagi jika teman rapat anda ini dalam situasi mungkin terlepas dari genggaman ketika dipegang kerana situasi itu tidak akan berlaku.
Saiznya juga tidak begitu besar iaitu berukuran 157.8 x 72.3 x 8.6 milimeter membuatkannya mudah dikendalikan dengan hanya satu tangan. Namun ukuran bagi paparan skrinnya cukup besar iaitu 6.39 inci.
Pengesan cap jari
Terima kasih kepada rekaan skrin OLED melengkung yang membuatkan paparannya nampak besar walaupun dalam kerangka yang kecil. Tambahan pula, dengan resolusi skrin pada kadar 3120 x 1440 piksel, paparannya kelihatan sangat jelas menambahkan lagi sisi menarik Huawei Mate 20 Pro ini.
Lebih menarik, peranti ini turut dilengkapi dengan pengesan cap jari yang terbina pada bahagian skrin tidak seperti pengesan cap jari Huawei Mate 10 Pro yang diletakkan di bahagian belakang menjadikan rekaannya lebih kemas dan menarik.

Memandangkan tiada butang fizikal untuk pengesan cap jari, ia menjadinya kurang sensitif dan perlu menekan jari dengan lebih kuat sedikit pada skrin untuk membuka kekunci skrin. Jadinya, tidak perlu risau jika ada pihak lain yang cuba membuka peranti anda.
Kapasiti bateri yang besar iaitu 4,200mAh membolehkan peranti ini bertahan agak lama untuk penggunaan biasa dalam tempoh seminggu dan lebih kurang dua hari sekiranya menggunakan aplikasi yang agak berat seperti menonton video dan permainan. Sangat sesuai untuk kaki drama dan gamer.
30 minit masa mengecas
Prestasi kuasa baterinya agak mengagumkan jika dibandingkan dengan peranti lain dalam pasaran yang hanya mampu bertahan tidak sampai satu hari untuk penggunaan aplikasi berat.
Dari segi pengecasan pula, fungsi SuperCharge 2.0 amat mengagumkan apabila ia boleh mengecas dalam masa hanya 30 minit untuk mendapatkan kembali lebih kurang 70 hingga 80 peratus kuasa bateri dan ia sangat menjimatkan masa kerana tidak perlukan masa yang lama untuk mengecas serta tidak perlu mengecas dengan kerap.

Bukan sahaja mampu mengecas dengan pantas, Huawei Mate 20 Pro juga boleh menjadi penyelamat kepada peranti lain dengan adanya fungsi pengecasan balikan. Hanya letakkan peranti lain pada Huawei Mate 20 Pro, secara automatik ia akan mengecas dengan sokongan fungsi pengecasan tanpa wayar. Wow ini sangat mengagumkan.
Peranti ini sememangnya mampu menonjolkan prestasi yang hebat apabila menyentuh soal kameranya. Kerjasama dengan pengeluar kamera Jerman, Leica ternyata tidak mengecewakan apabila hasil gambar yang dibidik daripada Huawei Mate 20 Pro ini sungguh mengagumkan.
Tona gambar lebih jelas
Dilengkapi dengan gabungan tiga kamera pada bahagian belakang yang terdiri daripada lensa 40 megapiksel (MP), 20 MP dan 8 MP, ia mampu mengambil foto yang jelas serta terang di samping menonjolkan lagi tona warna pada gambar walaupun dalam keadaan kurang pencahayaan khususnya di waktu malam.
Dilengkapi dengan lensa Leica Ultra-Wide, ia mampu mengambil gambar dengan sudut yang lebih luas tanpa perlu mengalihkannya jauh ke belakang seperti yang biasa dilakukan untuk kamera lain atau membeli lensa khas lain.

Fungsi ini sangat berguna jika mahu mengambil gambar kumpulan yang ramai di ruang sempit atau terhad sekali gus membataskan pergerakan jurukamera.
Teknologi pengecaman suasana kepintaran buatan (AI) pula amat membantu dalam menghasilkan gambar yang cantik bersesuaian dengan suasana sekeliling atau objek yang ingin dibidik.
Fungsi ini akan melaraskan tona warna, kejelasan tekstur dan lain-lain aspek bagi menonjolkan lagi gambar yang dirakam secara automatik melalui tetapan Master AI.
Kawal kalori anda
Bukan sahaja mengambil gambar, peranti ini juga mampu membantu mengira kalori setiap makanan melalui fungsi HiVision yang boleh diakses dengan memilih ikon pada penjuru atas, kiri di aplikasi kamera.
Hanya halakan kamera pada makanan, dalam masa beberapa saat, jumlah kalori hidangan tersebut akan terpapar di skrin telefon tanpa perlu membuka aplikasi carian di Internet.

HiVision ini turut boleh digunakan untuk mengimbas kod QR, mengenal pasti sesuatu objek, membeli barang yang dilihat dan menterjemah perkataan ke bahasa lain secara terus tanpa perlu memuat turun atau membuka aplikasi yang berlainan.
Teknologi yang terdapat pada peranti ini sememangnya dapat memudahkan lagi urusan harian seperti menjimatkan masa menunggu untuk mengecas, tidak perlu membuka banyak aplikasi lain dalam satu-satu masa serta membantu menjaga diet dengan fungsi pengira kalori.
Huawei Watch GT
Menyentuh mengenai bab diet dan kesihatan, memiliki Huawei Mate 20 Pro akan lebih sempurna dengan adanya jam tangan pintar iaitu Huawei Watch GT yang dapat membantu menjaga aspek kecergasan fizikal daripada soal bersukan hingga ke soal waktu tidur.
Sama seperti Huawei Mate 20 Pro, Huawei Watch GT juga mempunyai kuasa bateri yang tahan lama. Menariknya, ia dapat bertahan selama lebih dua minggu dengan sekali pengecasan penuh sekali gus dapat memudahkan urusan harian tanpa perlu mengecasnya setiap hari.

Manakala fungsi pengawasan kadar denyutan jantungnya memberikan pengawasan yang lebih baik dengan adanya teknologi TruSeen 3.0. Kadar denyutan jantung diukur atau dikira dengan tepat dan pantas sejurus memakainya.
Kira langkah anda
Pengiraan langkah yang diambil juga lebih tepat serta pantas apabila ia dilengkapi dengan pengesan kedudukan tiga satelit. Sejurus satu langkah diambil, ia serta-merta akan mengira langkah tersebut walaupun berada di dalam bangunan.
Bukan sahaja boleh digunakan untuk aktivit di darat, ia juga berkebolehan untuk mengesan dan mengira pergerakan ketika berenang kolam renang. Fungsi kalis airnya mampu bertahan pada kadar 5ATM.

Terdapat pelbagai program kecergasan yang boleh dipilih untuk dipantau meliputi sukan seperti berlari, berjalan, berbasikal dan mendaki. Ia sekali gus memberikan pilihan kepada pengguna untuk memantau aktiviti sukan kegemaran pada satu-satu masa.
MateBook X Pro
Tidak terhenti di situ sahaja, ada lagi gajet terkini Huawei ternyata melengkapkan kehidupan harian anda dengan MateBook X Pro.
Selain menghasilkan telefon pintar dan tablet berasaskan Android, Huawei sebenarnya turut menghasilkan komputer riba yang menggunakan sistem operasi Windows.
Berkesempatan mencuba komputer riba keluaran terbaharu mereka iaitu Huawei MateBook X Pro.

Ia menggabungkan rekaan yang cukup mantap dengan spesifikasi berkuasa tinggi dan mempunyai papan kekunci yang tidak memenatkan jari tangan.
Di sini, penulis senaraikan lima ciri utama terbaik yang terdapat pada Huawei MateBook X Pro bagi menjadikan komputer riba ini pilihan untuk anda.
Kamera 1 megapixel
Rekaan MateBook Pro X kelihatan amat cantik dan nipis menyebabkan tiada ruang untuk sebuah kamera web. Oleh itu kamera web sebesar 1 megapixel telah disembunyikan pada papan kekunci sebaris dengan kekunci fungsi pada barisan teratas.

Pengimbas cap jari
Papan kekunci berlampu dengan butang bersaiz penuh dipasang padanya bersama trackpad yang sangat besar. Selain itu, ia memiliki pengimbas cap jari yang dipasang di dalam butang kuasa.
USB-A, USB-C dan Thunderbolt 3
Walaupun sangat nipis, Huawei berjaya memuatkan port USB-A bersaiz, USB-C dan satu lagi USB-C Thunderbolt 3. Laptop ini menerima kuasa melalui sambungan USB-C yang mana didatangkan bersama pengecas USB-C PD 65W.

Jangka hayat bateri
Bateri komputer riba ini dapat bertahan sehingga 8 jam dalam penggunaan harian penulis. Ia adalah mencukupi untuk melakukan tugasan ke beberapa lokasi luar pejabat tanpa perlu risau kehabisan bateri. Jika kehabisan bateri sekalipun, pengecasan pantas disokong menyelesaikan masalah tanpa perlu menunggu lama.

Paparan skrin penuh
Terima kasih kepada paparan skrin sentuh (LPTS FullView) dengan saiz skrin 13.9 inci (3000 x 2000 pixel) yang diperkenalkan Huawei. Skrin yang digunakan adalah amat terang dan tajam. Ia mampu memaparkan 100 peratus warna SRGB.
Pada pendapat penulis, Huawei mahu memberikan yang terbaik untuk para pelanggannya dengan membawa teknologi terbaru dan terkini di Malaysia.

Pada harga jualan RM6999 sebuah, ia adalah di luar kemampuan kebanyakan pengguna.
Tetapi sekiranya anda mencari sebuah komputer riba Windows 10 yang mantap, mempunyai rekaan yang menarik, bateri yang bertahan lama dan papan kekunci yang cukup selesa digunakan, kami merasakan Huawei MateBook X Pro adalah untuk anda.
Orang ramai yang masih belum memiliki peranti-peranti paling berkuasa ini, boleh dapatkan di kedai Huawei berdekatan dan layari https://shop.huawei.com/my/index.html atau laman Facebook rasmi Huawei untuk mendapatkan maklumat lanjut. – K! ONLINE










