JEMPOL – Seorang lelaki yang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 31 Jalan Bahau – Kemayan dekat sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, mangsa, Mohd. Riduan Che Rosli, 25, yang beralamat di Kemayan, Pahang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggang mangsa bertembung dengan sebuah van jenis Nissan.
“Mayat mangsa telah di hantar ke Hospital Jempol dan punca kematian belum diketahui. Bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian.
“Kes kemalangan ini disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita di sini hari ini.
Muhd. Nur Hishamuddin berkata, siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku sewaktu mangsa yang tidak bekerja dalam perjalanan dari arah Kemayan menuju ke Lui Selatan.
Menurut beliau, motosikal mangsa memasuki laluan bertentangan apabila tiba di tempat kejadian lalu bertembung dengan sebuah van dipandu seorang lelaki berusia 71 tahun.
Kata beliau, kemalangan itu menyebabkan Mohd. Riduan terjatuh di atas jalan raya, manakala van tersebut terbabas ke tebing kanan jalan.
“Mangsa cedera parah pada kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu van yang merupakan seorang pekebun luka pada muka serta tangan dan mendapatkan rawatan di klinik di Lui Muda” katanya. – K! ONLINE










