KUALA LUMPUR 5 Jan. – Seorang penunggang motosikal maut digilis sebuah lori di Kilometer 16.3, Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke pusat bandar berhampiran sebuah stesen minyak, di sini, hari ini.
Dalam kejadian pukul 8.20 pagi itu, Mohamad Fakhri Mohd. Nawi, 25, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku ketika lori tiga tan dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun dari arah Plaza Tol Gombak menuju ke pusat bandar cuba dipintas motosikal Yamaha LC 135 ditunggangi mangsa.
“Bar pemegang motosikal mangsa terlanggar tayar belakang lori tersebut dan menyebabkan mangsa terjatuh sebelum digilis lori. Mayat mangs kemudian dihantar ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Zulkefly, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- UTUSAN ONLINE










