Berhemah ketika jualan murah - Utusan Malaysia

Berhemah ketika jualan murah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Walaupun Jualan Akhir Tahun (Y.E.S) telah berakhir tetapi masih ada yang melanjutkan tempoh jualan hingga pertengahan bulan ini. Bagaimanapun panduan membeli-belah ini sangat berguna ketika jualan murah supaya kita boleh merancang pembelian dengan lebih berhemah. Ikuti bahagian kedua panduan yang saya sertakan ini dari minggu lepas moga bermanfaat untuk semua.

Pembelian hadiah

Percaya atau tidak, musim jualan murah adalah masa yang sesuai untuk anda membeli ha­diah kepada ahli keluarga dan sahabat handai sempena hari jadi ataupun ulang tahun perkahwinan. Pada ketika ini tawaran seperti ‘Beli 1 tudung percuma 2’ atau ‘Beli 1 percuma 1’ dapat memberi manfaat yang lebih dalam tempoh masa pendek.

Untuk hadiah yang lain, mungkin anda boleh membeli beg tangan untuk ibu mentua atau barangan kegunaan suami dengan potongan harga 30 peratus, 50 peratus dan mungkin sehingga 80 peratus. Dalam masa sama, kita bukan sahaja mampu menggembirakan diri sendiri tetapi juga untuk insan tersa­yang di sekeliling kita.

Stok masa hadapan

Anda juga sebenarnya boleh membeli pakaian yang diperlukan pada waktu tertentu sahaja. Contohnya seperti pakaian renang untuk anda dan anak-anak, stoking, pakaian dalam atau barangan keperluan yang tidak ditelan arus fesyen dan trend semasa.

Jika terdapat jualan murah untuk barangan dapur atau ke­perluan harian, anda boleh membelinya dalam stok yang banyak kerana ia boleh digunakan pada masa akan datang. Tetapi untuk barangan makanan, anda perlu semak dahulu tarikh luput sebelum membeli kerana kebiasaannya barangan makanan yang dijual pada harga lebih murah, mungkin akan tamat tempoh dalam masa dua hingga tiga bulan dari tarikh belian tersebut.

Pembelian tanpa risiko

Jualan murah adalah masa yang tepat untuk membeli barangan yang jarang-jarang anda pakai. Sebagai contoh, kadang-kadang kita teringin untuk memakai seluar selain daripada warna gelap seperti warna putih. Jika kita ingin membelinya pada musim jualan biasa pasti har­ganya mahal dan tidak berbaloi.

Oleh itu, kita harus membelinya semasa jualan murah supaya tidak akan berasa ralat jika tidak bersesuaian. Sama juga barangan lain seperti produk kecantikan, terkadang kita i­ngin mencuba pencuci muka atau krim muka baharu untuk masalah kulit yang tidak menentu.

Pada musim jualan murah, para pembekal dan pengilang menjualnya pada harga yang jauh lebih rendah berban­ding jualan biasa. Jadi, kita boleh membelinya tanpa perlu mengambil risiko yang tinggi dan dapat menjimatkan wang.

Membantu ekonomi negara

Tanpa kita sedari, aktiviti membeli-belah di dalam negara, sebenarnya mampu menjana ali­ran tunai dalam negara sendiri terutama jika anda membeli barangan buatan Malaysia. Kualiti barangan buatan Malaysia juga tidak kurang hebatnya berban­ding produk luar negara.

Kita dapat menjimatkan per­be­lanjaan jika membeli bara­ngan tempatan. Harga barangan tempatan lebih murah berban­ding barangan import. Sebagai contoh, harga motosikal buatan tempatan iaitu Kriss lebih murah berbanding motosikal import.

Oleh itu, dengan membeli barangan buatan tempatan, kita dapat menjimatkan perbelanjaan untuk membeli barangan lain. Dalam hal ini, kita dapat menabung untuk masa depan, bak kata peribahasa, `sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.’

Dengan membeli bara­ngan tempatan, pengaliran keluar mata wang negara dapat dikurangkan. Wang tersebut dapat digunakan untuk membantu rakyat. Sebagai contoh, kerajaan dapat menyediakan pelbagai kemudahan kepada rakyat seperti jalan raya, kemudahan kesihatan dan pendidikan. Rakyat dapat hidup dengan lebih sejahtera dan ekonomi negara stabil.

Membeli pakaian berjenama pada harga berpatutan

Selalunya semasa musim jualan murah banyak pakaian berjenama dijual dengan harga berpatutan. Ini amat berbaloi jika anda penggemar pakaian berjenama yang boleh membelinya di butik-butik jenama tersebut atau pun secara dalam talian.

Untuk itu, anda perlu mele­takkan sasaran dan bajet sebelum membeli barangan jenama ke­gemaran. Sebagai contoh, jika tahun tersebut anda ingin membeli beg tangan berjenama yang harga jualan semasa adalah RM1,000, jika menunggu sehingga waktu jualan murah, mungkin boleh mendapatkan beg tersebut de­ngan potongan diskaun antara 30 hingga 50 peratus. Ia lebih menjimatkan dan anda boleh menggunakan wang tersebut untuk kegunaan lain atau sebagai simpanan.

Sebenarnya banyak lagi kebaikan dan manfaat membeli-belah ketika jualan murah. Kebanyakan barangan jualan akan dijual dengan harga lebih rendah kerana kebiasaannya pihak pengilang dan pembekal perlu menghabiskan stok sedia ada pada setiap akhir tahun bagi pengeluaran stok baharu atau pengeluaran produk baharu mengikut aliran dan trend jualan semasa.

Yang pastinya, dengan ke­a­daan ekonomi yang kurang memberangsangkan ketika ini, anda dapat menjimatkan wang. Baki wang tersebut dapat digunakan untuk membeli ke­perluan lain dan juga simpanan masa depan. Jadi berbelanjalah dengan berhemah dan berjimat cermat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN