KUALA LUMPUR 4 Jan.- Mencuit hati. Itu reaksi majoriti warganet terhadap video Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mengajak isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali untuk berswafoto bersama-sama.
Aksi spontan swafoto yang dikongsi di Facebook Kelab Che Det itu ternyata mengelikan hati netizen terhadap telatah kedua-dua mereka yang kini berusia mencecah 94 tahun.
Dalam video berdurasi kurang 10 saat itu kedengaran Dr. Mahathir berkata,”Tak nampak ya, ok berdiri” minta Dr. Mahathir dan dibalas oleh Dr. Siti Hasmah, “Apa dia” sambil berdiri dan muncul di belakang Perdana Menteri ke-7 itu.
“Ada benda yang saya tidak berapa setuju dengan Tun M tapi tiap kali ada video Tun M dan wife saya sungguh terharu sepasang suami isteri telah ditemukan bahagia sampai lanjut usia. Semoga Tun M dan wife sihat selalu. Amin,” kata RaiMee Abaden.
“Cummiiilllllll mypm. Semoga Allah selalu merahmati Tun berdua. Semoga sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan diberikan kelapangan masa untuk family Tun. I Love u Tun,” kata Din Grunge.
“Assalamualaikum Tun. Terima kasih Tun. Bersemangat kami melihat Tun berdua. Semoga Allah SWT berikan kesihatan dan kebahagiaan berkekalan kepada Tun berdua,” doa Suzalie Mohamad.
“Alahai comelnya. Sweet sangat. Love Tun M dan Tun Siti Hasmah,” kata Nurfarahin Farahin.-UTUSAN ONLINE










