22 ditahan sindiket penyeludupan guna calet - Utusan Malaysia

22 ditahan sindiket penyeludupan guna calet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH 4 Jan. – Polis daerah ini menahan 22 individu termasuk 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menjadikan sebuah calet di Pengkalan Balak dekat sini sebagai ‘port’ transit keluar masuk, dalam serbuan bersepadu baru-baru ini.

Kejayaan tersebut hasil risikan dan operasi bersama Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka/Negeri Sembilan dan Jabatan Imigresen yang menyerbu premis itu pada pukul 12 tengah hari 29 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintenden A. Asmadi Abd. Aziz berkata, dalam serbuan itu pihaknya menahan 22 individu iaitu 17 PATI termasuk empat perempuan; dua tekong tempatan berusia 28 dan 30 tahun, dua tekong warga Indonesia dan seorang perempuan dipercayai pemilik calet terbabit berusia 28 tahun.

Beliau berkata, kesemua PATI itu ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 26 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).

“Hasil risikan yang dijalankan, aktiviti membawa masuk dan keluar PATI termasuk mereka yang telah tamat tempoh pasport dipercayai dilakukan oleh tekong tempatan yang mahir selok-belok pasang dan surut air laut selain waktu rondaan pihak berkuasa.

A. ASMADI ABD. AZIZ (kanan) menunjukkan enjin bot yang dirampas selepas kejayaan pihak berkuasa mena
CAPTION: A. ASMADI ABD. AZIZ (kanan) menunjukkan enjin bot yang dirampas selepas kejayaan pihak berkuasa menahan 22 individu yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan manusia, pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Alor Gajah di Melaka, hari ini.  – UTUSAN ONLINE

“Selain itu, kita juga mendapat maklumat Pulau Konet di Kuala Sungai Baru turut dijadikan lokasi transit untuk mereka melakukan kegiatan ini sama ada siang atau malam,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di sini hari ini.

Menurut A. Asmadi, sejak 20 Disember hingga 1 Januari lalu, sebanyak 42 PATI warga Indonesia termasuk seorang bayi berusia enam bulan selain sembilan tekong darat dan seorang pemilik calet telah ditahan.

Selain menjadikan calet sebagai modus operandi penyeludupan manusia, sindiket itu turut dikesan menggunakan kenderaan sewa bagi membawa pendatang asing keluar masuk.

“Dalam operasi sebelum ini yang diadakan pada 20 Disember lalu, kita telah merampas dua buah kenderaan jenis Honda City dan Proton Saga yang digunakan dalan kegiatan ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×