KLANG – Kegembiraan dua sahabat yang keluar memancing berakhir tragedi dengan seorang daripadanya lemas selepas bot dinaiki karam dipukul ombak dalam kejadian berhampiran Stesen Janakuasa Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Kapar di sini petang semalam.
Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, Syed Noor Masadi, 51, meninggal dunia selepas lemas di laut. Manakala rakannya, Amir Hamzah Mohd. Jani, 55, selamat selepas berpaut pada sebuah tong minyak.
Pengarah Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, kedua-dua mangsa yang berasal dari Sungai Sembilang, Jeram dekat sini keluar memancing di laut pukul 3 pagi semalam.
Katanya, ketika dalam perjalanan pulang kira-kira pukul 11.30 pagi bot fiber dinaiki mereka terbalik sebelum karam selepas dipukul ombak.
“Kami menerima panggilan kecemasan pukul 3.15 petang sebelum mengerakkan aset ke lokasi berkenaan dan menemui Amir Hamzah sedang berpaut pada sebuah tong minyak.
“Seorang lagi mangsa berjaya ditemui pada jarak 0.8 batu nautika dari Perepat, Kapar di sini dan disahkan meninggal dunia akibat lemas kira-kira pukul 4 petang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelas beliau, kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke jeti Pulau Indah untuk tindakan lanjut.
Mohammad turut mengingatkan orang ramai agar mementingkan pemakaian jaket keselamatan setiap kali ke laut dan tidak menganggap jaket itu sebagai satu bebanan. – K! ONLINE










