SEJARAH Islam membuktikan usaha mentafsir semula al-Quran bukan suatu yang asing. Ia kerap dilakukan kerana gaya hidup dan isu-isu melingkari umat Islam berbeza antara satu zaman dengan yang lain.
Perubahan sosioekonomi sesebuah masyarakat memerlukan usaha pembaharuan dan tafsiran semula al-Quran dilakukan, malah tidak seharusnya berhenti sehingga ke hari kiamat.
Namun begitu, usaha itu tidak seharusnya menyentuh aspek akidah, ibadah dan hukum yang ditentukan secara qat’i (mutlak).
Ini selari dengan pandangan Ahli Jemaah Ulama Majlis Agama Islam Kelantan, Dr. Mohamad Kamil Abd. Majid pada program Multaqa Ilmuwan Usuluddin 2018, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.
Beliau berkata, umat Islam hari ini berdepan aliran materialisme, pragmatisme, liberalisme dan pascamodenisme yang perlu ditangani dengan metodologi serta pendekatan baru dengan tafsiran al-Quran semasa.
“Tidak cukup sekadar guna tafsiran ulama zaman silam seperti Imam Shafie, Abu Hanifah, Imam Malik dan lain-lain kerana zaman dan persekitaran mereka berbeza dengan hari ini,” katanya.
Program sehari itu menampilkan pembentangan tiga kertas kerja utama sebelum diteruskan dengan dua sesi muzakarah ilmuwan Usuluddin dan diakhiri dengan resolusi muzakarah.
Lebih 200 ilmuwan Usuluddin seluruh negara hadir pada program yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Mohd. Nordin Ibrahim.
Mengulas lanjut, bekas Pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam Universiti Malaya itu menyifatkan usaha mentafsir semula al-Quran yang sesuai dengan persekitaran ummah hari ini tidak boleh diabaikan.
Ini kerana beliau menegaskan, setiap zaman atau era ada masalah, cabaran dan kaedah penyelesaian tersendiri.
“Cabaran atau isu semasa yang berlaku pada era dahulu tidak dapat selesaikan masalah zaman sekarang dan begitulah sebaliknya,” katanya.
Dengan kata lain, Mohamad Kamil menambah, ulama Islam zaman silam sudah melaksanakan tugas dan tanggungjawab itu semasa mereka masih hidup.
“Ulama berkenaan bercakap tentang zaman masing-masing dan saya yakin jika mereka hidup pada hari ini, mereka akan bercakap tentang isu-isu semasa bukannya zaman sebelum,” katanya.
Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa cadangan tersebut bukan bermakna umat Islam hari ini perlu membuang terus tafsiran para ulama zaman silam.
Tetapi jelasnya, tafsiran tersebut perlu menjadi rujukan utama selain warisan ilmu yang seharusnya dikekalkan.
“Cuma, apa yang perlu disertakan bersama dalam tafsir itu adalah input-input baharu dalam bidang sains, sosiologi, budaya, ekonomi, politik dan sebagainya,” katanya lagi.










