Pelancongan mampu tingkat pendapatan - Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

Pelancongan mampu tingkat pendapatan – Raja Muda Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 31 Dis. – Sektor pelancongan mampu meningkatkan pendapatan sesebuah negeri dan negara serta memperbanyakan peluang pekerjaan kepada rakyat setempat.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah Melaka merupakan negeri yang boleh dicontohi berjaya melaksanakan konsep sedemikian.

Baginda memuji kerajaan dan juga pihak swasta di Melaka kerana saban tahun sentiasa mempromosikan serta mewujudkan lokasi pelancongan baharu dan berkualiti seperti persembahan budaya berkenaan bagi mengamit lebih ramai kedatangan pelancong dari dalam dan juga luar negara.

Baginda juga berharap agar usaha yang dilakukan dapat diteruskan demi menjamin kelangsungannya kerana setiap projek seperti ini menelan pelaburan yang amat besar dan memerlukan pulangan yang setimpal dalam tempoh terpantas, selain memerlukan sistem pengawalan aliran tunai serta operasi yang terbaik oleh pihak pengurusannya.

Baginda bertitah selepas berkenan berangkat menyaksikan persembahan kebudayaan dan kesenian di lokasi pelancongan baharu Melaka iaitu ‘Encore Melaka – Impression Series’, pada baru-baru ini.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan baginda berdua ke produksi PTS Impression Sdn Bhd tersebut, yang merupakan sebuah anak syarikat kepada Yong Tai Berhad (YTB) disambut oleh Pengurus Besarnya, Long Tyan Poh.

Turut berangkat ialah anakanda-anakanda, Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Baginda menyifatkan persembahan pentas itu adalah bertaraf antarabangsa, setaraf teknologi luar negara yang perlu dibanggakan. 

Untuk rekod, produksi tersebut diarah oleh Wang Chaoge. Ia berkapasiti 2007 kerusi yang mampu berputar 360 darjah, iaitu yang pertama sedemikian rupa di rantau Asia Tenggara.

Pentasnya pula ialah sepanjang 240 meter dan melibatkan penyertaan lebih daripada 200 orang artis tempatan pada satu-satu persembahan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×