2 anggota bomba cedera dihempap batu - Utusan Malaysia

2 anggota bomba cedera dihempap batu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 31 Dis. – Dua anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka cedera selepas dihempap runtuhan batu ketika memadamkan kebakaran sebuah rumah teres di Taman Cheng Utama di sini malam tadi.

Kejadian berlaku pukul 11.40 malam sewaktu Pegawai Bomba Nurulhashima Affandi, 25, dan Nornikman Mamat, 39, selesai menyertai usaha memadam api di aras bawah rumah teres dua tingkat itu.

Menceritakan kejadian itu, Nurulhashima yang sudah berkhidmat selama enam tahun di Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu berkata, dia sedang menaiki tangga tingkat satu untuk memeriksa tingkat atas rumah selepas api berjaya dipadamkan.

“Tiba-tiba ketika saya berada di atas tangga, ketulan batu dari dinding atas pemisah rumah runtuh dan menimpa saya.

PENGARAH JBPM Melaka, Mohamad Zin Salleh (kanan) bertanya sesuatu kepada Pegawai Bomba Nurulhashima
PENGARAH JBPM Melaka, Mohamad Zin Salleh (kanan) bertanya sesuatu kepada  Pegawai Bomba Nurulhashima Affandi yang cedera dihempap runtuhan batu ketika memadam kebakaran rumah teres di Taman Cheng Utama malam tadi di Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Melaka sebentar tadi. –  UTUSAN ONLINE/SUFFIAN ABU BAKAR

“Sebahagian daripada runtuhan menutupi badan dan ketika itu juga seorang lagi rakan setugas ditimpa sewaktu cuba membantu saya,” katanya ketika ditemui di BBP Jalan Kubu di sini sebentar tadi.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid; Pengarah JBPM, Mohamad Zin Salleh dan Ketua BBP Jalan Kubu, Kamarulzaman Mohd. Din turut hadir melawat anggota tersebut.

Kebakaran rumah berlaku kira-kira pukul 10.25 malam namun tidak melibatkan kecederaan kepada penghuni rumah.

Nurulhashima mengalami kecederaan pada bahagian kepala, bahu dan kedua-dua belah kaki termasuk tisu koyak manakala Nornikman hanya cedera ringan ketika membantu anggota wanita itu.

Kebakaran itu berjaya dipadamkan pada pukul 11.39 malam selepas dua buah jentera bersama 16 anggota diketuai Komander Operasi Mohamad Ismail Harun bergegas ke tempat kejadian. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×