PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhasrat menjadi entiti yang mengamalkan pengurusan terbaik yang boleh dicontohi masyarakat pelbagai peringkat.
Perdana Menteri merangkap Pengerusi Bersatu itu berkata, beliau yakin pelaksanaan amalan kepimpinan terbaik dan nilai-nilai nilai murni secara tidak langsung boleh dicontohi rakyat negara ini.
“Saya yakin yang akan menukar sifat-sifat yang buruk dan menerap sifat-sifat yang baik bermula dengan parti Bersatu. Kitalah contoh, kitalah yang akan jadi teladan.
“Kalau dahulu kita bercakap berkenaan kepimpinan melalui teladan, hari ini kita bercakap mengenai parti Bersatu adalah teladan dan contoh bagi negara ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali kedua di sini hari ini.
Memberikan contoh perhimpunan agung tahunan Bersatu selama tiga hari yang berakhir hari ini, beliau berkata parti itu memberikan kebebasan kepada perwakilan untuk melontarkan pandangan dan kritikan kepada kepimpinan parti. – Bernama










