Muka lama, harapan baharu Tok Gajah - Utusan Malaysia

Muka lama, harapan baharu Tok Gajah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJULANG Piala FA, menduduki tangga keempat Liga Super dan mara sehingga peringkat suku akhir Piala Malaysia boleh dianggap sebagai musim sederhana jika ingin menilai secara keseluruhan prestasi skuad Tok Gajah dalam saingan bola sepak Liga Malaysia (Liga M) 2018.

Dengan penilaian markah enam daripada 10, skuad bimbingan Dollah Salleh itu masih boleh berbangga dengan pencapaian merangkul kejuaraan Piala FA buat kali ketiga setelah kali pertama memenanginya pada 2006 dan dua tahun lalu.

Cuma, Pahang yang muncul juara sulung Liga Super yang diperkenalkan pada 2004 terus kempunan untuk mengucup trofi kejuaraan itu walaupun memulakan cabaran di peringkat awal dengan baik sebelum agak terumbang-ambing pada penghujung musim.

Hakikatnya, skuad Tok Gajah pernah melalui musim yang lebih suram. Pasukan itu semusim beraksi dalam Liga Perdana 2012 sebelum menempah slot terakhir Liga Super 2013 menerusi perlawanan play-off. Sejak itu, Pahang kembali membina reputasinya sebagai antara pasukan gergasi bola sepak negara.

Menjelang musim baharu Liga M yang bakal membuka tirai tidak lama lagi, Pahang yang menjaringkan 54 gol dan bolos 29 gol dalam saingan Liga Super, Piala FA serta Piala Malaysia sepanjang musim ini masih dilihat sebagai antara pencabar utama untuk memburu kejuaraan tiga saingan domestik berkenaan.

Rata-rata pemain dalam skuad sekarang dibentuk selepas ramai pemain berstatus bintang angkat kaki menyertai pasukan lain pada musim 2016.

Keputusan tidak melakukan perubahan sepenuhnya dalam barisan pemain tempatan tatkala pasukan lain berlumba-lumba mendapatkan pemain berstatus bintang dilihat langkah berani yang diambil skuad Tok Gajah.

Realitinya, bukanlah satu keperluan mendapatkan muka baharu jika pemain tempatan yang beraksi bersama skuad Tok Gajah musim ini mampu memberi prestasi dan komitmen terbaik sebagaimana diharapkan kem kejurulatihan Pahang.

Dari satu sudut, para pemain yang dikekalkan itu juga semestinya lebih serasi selepas semusim bersama dan akan berlumba-lumba mempamerkan persembahan terbaik untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama. 

Jangan dilupa Pahang memiliki gandingan Mohamadou Sumareh dan Norshahrul Idlan Talaha yang membantu Harimau Malaya muncul naib juara Piala AFF Suzuki 2018. Kehadiran dua pemain yang memiliki kualiti dan teknik individu mengelecek itu pasti memberi nilai tambah dalam skuad Tok Gajah dalam mengharungi musim baharu.

Persiapan Pahang juga tentunya berjalan lancar jika rayuan mereka agar Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memberi peluang kepada Sumareh bermain sebagai pemain tempatan bersama Tok Gajah sebaik sahaja saingan baharu Liga M bermula diluluskan.

MFL sebelum ini memberi tempoh setahun kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) iaitu sehingga Mac 2019 sebelum Sumareh yang merupakan pemain naturalisasi pertama negara dibenarkan mendaftar sebagai pemain tempatan. 

Tinggal lagi kini skuad Tok Gajah perlu memastikan kemasukan pemain import benar-benar berkualiti dan menepati kriteria yang mampu memberi sumbangan besar terhadap prestasi pasukan itu selepas menamatkan khidmat Patrick Cruz, Austin Amutu dan Issey Nakajima.

Jangan dipandang mudah dengan peranan pemain import kerana kegagalan mendapatkan yang terbaik di posisi tertentu boleh menjejaskan prestasi keseluruhan pasukan.

Dengan ramuan mengekalkan pemain tempatan yang diadun dengan kehadiran pemain import berkualiti, tidak mustahil Tok Gajah bakal ‘mengamuk’ musim depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×