Sayyidati bukti kesungguhan Shara - Utusan Malaysia

Sayyidati bukti kesungguhan Shara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Biarpun usia sudah melangkah perte­ngahan 40-an, kulit wanita ini kelihatan segar tanpa sebarang cela. Wanita tinggi lampai ini percaya kulit perlu ‘dibelai’ dengan rutin penjagaan setiap hari sejak remaja lagi. Ini yang dilakukan oleh figura kali ini iaitu Shara Zuhaney Ahmad, 48, pengasas produk kosmetik jenama Sayyidati.

Shara memulakan langkah dalam dunia kecantikan sejak 1986 lagi, ketika bekerja di sebuah syarikat swasta di Bangi, Selangor. Namun empat tahun bekerja, terasa jiwanya tidak serasi dengan kerja yang dilakukan itu. Bertitik tolak daripada itu, dia mula menyatakan hasrat kepada suaminya untuk kembali ke bidang kecantikan.

“Suami memang menyokong dan menyarankan saya ambil kursus untuk menambah ilmu. Saya bermula dengan kursus rawatan muka, setelah mahir, kemudian sambung pula kursus rawatan rambut. Pada 2000, saya ambil keputusan untuk berhenti kerja dan membuka pusat rawatan rambut (salun) sendiri dengan nama Shara Hair & Beauty di Bangi yang beroperasi selama 11 tahun.

Untuk menambah kemahiran dan mengembangkan segmen perniagaannya, Shara sekali lagi mengambil kursus urutan badan termasuk lulur bagi melengkapkan ilmu yang dipelajari iaitu daripada hujung rambut ke hujung kaki.

Selepas beberapa tahun berjaya dalam bidang spa, Shara mengambil keputusan menutup satu persatu salun kerana sibuk menguruskan anak-anak. Akuinya, amat sedih dengan keputusan itu dan berat hati untuk menutup salunnya itu.

Pun begitu, Shara tidak pernah melupakan keinginannya untuk berjaya dalam perniagaan. Hasilnya pada 2016, selepas anak besar dan pandai berdikari, dia mengambil keputusan menceburi bidang kecantikan sekali lagi tetapi dalam segmen berbeza iaitu menghasilkan produk sendiri.

“Cuma kali ini, saya memilih produk kosmetik bertujuan membantu wanita untuk kekal cantik. Oleh kerana ketika itu, produk kosmetik tempatan mula mendapat perhatian saya dan suami untuk mengambil peluang menghasilkan kosmetik jenama sendiri.

“Ia bermula daripada satu kelas agama yang saya hadiri yang menceritakan mengenai kisah nabi. Salah satu cara memartabatkan wanita ialah melalui panggilan ‘Saidatina’ bermaksud ‘cik puan’. Sebab itulah saya menggunakan nama Sayyidati sebagai mengambil nama Saidatina,” katanya.

Kini dia mempunyai lima rangkaian produk iaitu bedak asas, gincu, bedak debu, serum dan semburan wajah yang mempunyai persijilan Kementerian Kesihatan.

Menceritakan lebih lanjut, mengenai amalan kecantikannya, ibu tiga cahaya mata ini memberitahu dia banyak membaca dan bertanya mereka yang lebih arif mengenai apa perlu digunakan setiap kali usia meningkat.

“Saya diberitahu badan akan kehilangan kolagen apabila usia mencecah 25 tahun ke atas, jadi saya mula memakai serum sebagai langkah pencegahan awal untuk mengelak pigmentasi. Saya juga mengambil makanan tambahan berbentuk vitamin C, kolagen dan jamu tradisional.

“Sehingga sekarang saya masih mengamalkan jamu untuk kesihatan dalaman dan memastikan badan tampil cergas,” tegasnya.

Dia turut menggabungkan pengambilan ulam-ulaman dan buah-buahan kerana selain baik untuk tubuh, ia juga menambah vitamin serta mineral diperlukan kulit.

Katanya, apabila kulit sudah cantik, apa saja jenis alat solek akan menghasilkan keserasian lalu menampakkan wajah berseri. Percaya kepada kuasa solekan yang mampu merubah wajah individu mengikut acara yang akan dihadiri mereka, bagi Shara wanita tidak perlu melupakan terus alat solek biarpun usia meningkat.

“Alat solek yang tidak pernah saya tinggalkan adalah bedak asas, gincu, celak dan pemerah pipi. Walaupun keluar sekejap, saya pastikan wajah disalut bedak asas, bibir dilayang pengilat bibir manakala mata disapu pembayang mata. Dengan tiga alat solek ini saja cukup membuatkan penampilan kelihatan memikat,” jelasnya.

Katanya lagi, bersolek bukan saja kala mahu keluar tetapi ketika berada di rumah untuk tatapan suami. Supaya wajah tampak berseri, memadailah memakai bedak asas bersama pengilat bibir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×