PULAU PINANG 28 Dis. – Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah supaya segala usaha perlu dilakukan untuk mencari pihak yang bertanggungjawab mengakibatkan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24.
Titah baginda, tangan-tangan yang bergelumang dosa melakukan jenayah sungguh kejam itu sehingga mengakibatkan seluruh keluarga Muhammad Adib berduka perlu dicari demi memastikan undang-undang didaulatkan dan keadilan tidak tercicir.
Baginda bertitah, demi menegakkan kebenaran juga, mereka yang menyaksikan kejadian yang berlaku mempunyai tanggungjawab agama, moral dan undang-undang untuk tampil membantu siasatan polis.
‘‘Jenayah sekejam ini, sama sekali tidak boleh dilindungi. Kepada Allah SWT kita pohonkan akan berlaku keadilan setimpal (poetic justice), memastikan pihak yang bersalah dan dalang-dalang yang bertanggungjawab di sebalik peristiwa ini tidak terlepas daripada dihukum kerana dosa yang telah dilakukan,’’ titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian dalam majlis pengurniaan watikah pelantikan Ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Hakim serta Pendaftar Mahkamah Syariah Pulau Pinang di sini hari ini.
Pada 30 November lalu, Sultan Nazrin berkenan menziarahi Muhammad Adib yang mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Dalam majlis itu, Sultan Nazrin turut menyebabkan seisi dewan sebak sewaktu berkongsi saat mencemar dulu menziarahi Muhammad Adib di IJN.
Dalam nada tersekat-sekat serta beberapa kali menahan air mata, Sultan Nazrin bertitah, baginda berkesempatan menzahirkan rasa dukacita dan simpati kepada kedua-dua ibu bapa Muhammad Adib iaitu Mohd. Kassim Abdul Hamid dan Azma Aziz sambil mendoakan bersama seluruh rakyat Malaysia supaya Muhammad Adib dapat diselamatkan.
‘‘Meskipun para doktor menjalankan segala usaha yang terdaya, Allah jua yang Maha Berkuasa, penentu kepada segala-galanya.
“Pada pagi 18 Disember, jenazah Muhammad Adib diterbangkan untuk diabadikan selama-lamanya di Kuala Kedah, empat hari sebelum tarikh yang ditetapkan untuk beliau diijabkabulkan dengan Nurul Najihah Mohd. Rodzi. Negara dihujani gerimis hiba.
“Seluruh negara tanpa mengira kaum dan pegangan agama, daripada rakyat biasa, pemimpin, termasuk istana, sama-sama berduka,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, sesungguhnya Muhammad Adib ialah seorang wira terbilang, berani, cekal lagi berwibawa yang terkorban untuk negaranya.










