Mohamad persoal inkues kematian Muhammad Adib - Utusan Malaysia

Mohamad persoal inkues kematian Muhammad Adib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan mempersoalkan kewujudan inkues bagi mengetahui punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim yang terbunuh dalam rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, USJ25 Subang Jaya, Selangor.

Beliau antara lain mempersoalkan mengapa Menteri Dalam Negeri yang memberi kenyataan akhbar berhubung inkues tersebut dan bukan Peguam Negara kerana ia memberi persepsi Menteri Dalam Negeri campur tangan terhadap siasatan polis dan pendakwaan Peguam Negara.

Mohamad turut mempersoalkan mengapa Peguam Negara mengarahkan inkues itu diadakan sedangkan polis sedang atau masih menyiasat kes kematian itu sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun keseksaan.

“Adakah Peguam Negara sudah tidak percaya dengan kredibiliti dan kecekapan pihak polis melakukan tugas siasatan kes bunuh ini? 

“Sudah tentu satu tindakan menyiasat “punca kematian” dan menyiasat siapa yang menyebabkan kematian arwah Muhammad Adib merupakan objektif yang berlainan,” katanya dalam satu kenyataan media malam ini.

Mohamad seterusnya mempersoalkan mengapa kerajaan menerusi Peguam Negara didakwa cuba memesongkan pandangan rakyat seakan-akan kematian anggota bomba itu terbela sedangkan pembunuhnya masih bebas.

Justeru, katanya, beliau amat bersimpati dengan keluarga Allahyarham Muhammad Adib yang sehingga kini tertanya-tanya siapakah pembunuh anak mereka.

Kata beliau, polis perlu menyelesaikan siasatan kes itu dengan segera dan Pejabat Peguam Negara perlu tegas menentukan sama ada Allahyarham Muhammad Adib dibunuh dan siapa yang tertuduh.

“Bukannya menggunakan prosiding inkues kematian oleh sebuah Mahkamah Koronor bagi tujuan bagaimana Muhammad Adib meninggal dunia dan bukan mencari pembunuhnya.

“Rakyat sekarang melihat sama ada kerajaan ini mematuhi “Rule of Law” atau hanya menggunakan prosedur undang-undang bagi melenggah-lenggahkan keadilan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×