KUALA LUMPUR 28 Dis. – Kem terjun negara kini dilihat sedikit terganggu dalam melakukan persiapan bagi merebut tiket ke saingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Diletakkan antara sukan yang menjadi sandaran pemburuan pingat emas pertama Olimpik, selain basikal dan badminton, keputusan mengejut ketua jurulatih, Zhang Yukun meninggalkan skuad berkenaan minggu lalu pasti memberi tamparan besar kepada Malaysia.
Situasi itu juga menimbulkan persoalan adakah Malaysia masih di landasan tepat menghadapi musim 2019 yang penuh mencabar, terutama memburu tiket ke Sukan Olimpik?
Melihat kepada keadaan tersebut, nama bekas jurulatih negara, Yang Zhuliang, dikaitkan sebagai pengganti.
Namun, masalah Zhuliang ialah apabila beberapa penerjun tidak gemar dengan corak latihannya yang dianggap terlalu keras, selain tuduhan terhadapnya yang mewujudkan suasana ketakutan dalam skuad terjun berpunca daripada kes gangguan seksual oleh seorang bekas penolong jurulatih.
Bagaimanapun, melihat kepada pencapaian Zhuliang sepanjang 10 tahun membimbing skuad terjun, beliau berjaya membawa Malaysia muncul antara ‘kuasa besar’ di peringkat antarabangsa, selain membutirkan pingat perak dan gangsa di Olimpik serta melahirkan juara dunia.
Beliau kini lebih banyak menghabiskan masa bersama keluarga di Australia, malah masih mengikuti perkembangan skuad terjun negara dan perkhabaran baik buat Malaysia, Zhuliang belum mengikat kontrak dengan mana-mana negara atau kelab sejak ditamatkan perkhidmatan, Disember tahun lalu.
Peluang tersebut harus dimanfaatkan sebaik mungkin Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memujuk semula beliau kembali menjadi ketua jurulatih.
Dalam pada itu, Zhuliang juga tidak menolak ‘bulat-bulat’ ketika ditanya berhubung pilihannya jika Malaysia inginkan khidmatnya semula.
“Saya tidak tahu (belum buat sebarang keputusan). Saya masih perlu belajar lebih banyak,” katanya yang seolah-olah masih berkecil hati selepas ditamatkan kontrak, walaupun telah menganggap Malaysia sebagai negara keduanya selepas China.
Skuad terjun kebangsaan kini dibimbing jurulatih pelapis, Christian Brooker dan Li Teng yang masih bercuti sempena perayaan Krismas.










