KUALA LUMPUR 28 Dis. – Kejayaan skuad bola sepak DRB-HICOM menjuarai Divisyen 1A 2018 serta meraih kemenangan perlawanan playoff peringkat suku akhir dan separuh akhir KLFA Bahagian 1 mendapat pujian penaung kelab berkenaan, Datuk Seri Syed Faisal Albar.
Syed Faisal yang juga Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM gembira dengan kejayaan tersebut dan dalam masa sama mengakui, menjadi juara sememangnya bukan mudah, namun, untuk mengekalkan kejuaraan jauh lebih sukar.
Syed Faisal turut menjadikan kejayaan pasukan Leicester City FC menjuarai Liga Perdana Inggeris pada musim 2015/16 sebagai contoh terbaik buat kelabnya.
“Leicester City memenangi liga pada tahun itu, namun, tidak berjaya mengekalkan kejuaraan pada tahun seterusnya. Kejuaraan tetap milik mereka walaupun dicabar oleh Chelsea dan Tottenham Hotspur.
“Musim seterusnya melihat Chelsea dan Tottenham Hotspur kekal menjadi pencabar liga dengan Chelsea menjadi juara pada tahun 2016/17, manakala Manchester City telah menjuarai musim lalu dan menjadi juara adalah mudah tetapi untuk kekal sebagai juara adalah lebih sukar,” kata Syed Faisal.
Beliau berharap pemain akan dapat terus tingkatkan usaha untuk musim 2019, di mana DRB-HICOM FC bakal bermain dalam liga tertinggi KLFA iaitu Liga Super.
Kejayaan pasukan itu diraikan dalam satu majlis yang diadakan, baru-baru ini, dan kelab juga memberi penghormatan kepada barisan penaja pasukan yang terdiri daripada Pos Malaysia, DEFTECH, Alam Flora Sdn Bhd, Bank Muamalat, Glenmarie Golf & Country Club, PROTON dan penaja kit rasmi, Sky Hawk KL.










