Siapa sebenarnya mangsa? - Utusan Malaysia

Siapa sebenarnya mangsa?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Dis. – Isu keengganan pasukan negeri ataupun kelab melepaskan pemain mereka bukanlah satu isu baharu dalam kancah bola sepak tanah air kerana perkara berkenaan telah berulang kali berlaku, sebelum ini.

Antaranya melibatkan perpindahan penyerang Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha pada 2013 dan Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham ke Johor Darul Ta’zim (JDT), dua tahun lalu. Namun, ia dapat diselesaikan dengan baik selepas campur tangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), selain rundingan antara majikan lama dan baharu.

Tahun ini, skrip sama berulang dan kali ini melibatkan penyerang remaja negara, Akhyar Rashid yang enggan dilepaskan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) meskipun hati pemain itu sudah tawar untuk bersama pasukan berkenaan, musim depan.

Lebih buruk, KFA mengancam mahu membawa kes pampasan Akhyar ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas Setiausaha Kehormatnya, Mohd Asmirul Anuar Aris menyifatkan FAM tidak berlaku adil dalam membuat keputusan.

AKHYAR RASHID
AKHYAR RASHID 

Timbul juga tanda tanya, siapa sebenarnya menjadi mangsa dalam kes seperti ini, adakah pemain atau pasukan itu sendiri?.

Jika di Liga Perdana Inggeris umpamanya, pasukan mempunyai hak ke atas pemain yang masih mempunyai kontrak dan sekiranya terdapat kelab lain yang berminat, ia memerlukan rundingan rasmi dengan majikan pemain berkenaan ataupun melalui ejen.

Merujuk kepada kes Akhyar, pemain itu masih mempunyai kontrak selama setahun bersama Kedah dan pasukan yang berminat mendapatkan khidmatnya harus melakukan rundingan rasmi dengan KFA, dan bukannya terus berhubung dengan pemain berkenaan.

Dalam perkembangan sama, FAM menegaskan isu membabitkan pampasan Akhyar tidak perlu dibawa sehingga ke Mahkamah Timbang Tara Sukan.

Sebaliknya, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan, ia boleh diselesaikan secara dalaman dengan lebih baik menerusi pertemuan ‘empat mata’ antara badan induk itu dan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

“Kita terbuka dan sedia berbincang dengan KFA mengenai isu ini. Mungkin wujud salah faham daripada sudut pemahaman mengenai peruntukan dalam urusan perpindahan pemain dan kita sedia berbincang dengan KFA.

“Tidak perlu memperbesarkan isu kerana selaku badan induk, kami bersedia mencari jalan terbaik bagi menangani apa jua masalah yang membabitkan ahli gabungan,” jelasnya.

FAM semalam mengumumkan, Jawatankuasa Rayuan yang bermesyuarat mengekalkan keputusan penyerang berusia 19 tahun itu hanya perlu membayar RM210,000 bagi menebus baki kontrak bersama KFA untuk membolehkannya berhijrah ke pasukan baharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×