ROME 28 Dis. – Inter Milan terpaksa beraksi dalam stadium kosong untuk dua perlawanan Serie A, gara-gara tingkah laku penyokong yang mengejek pertahanan Napoli, Kalidou Koulibali dengan sorakan berbaur perkauman, kata Liga Itali itu, hari ini.
Koulibaly digelar sebagai monyet dalam sorakan tersebut sewaktu Inter melakar kemenangan 1-0 di San Siro, semalam, sehingga mendorong kepada desakan Napoli yang mahu menghentikan perlawanan, tetapi gagal berbuat demikian.
Inter juga perlu bermain dalam satu lagi perlawanan dengan tempat duduk di bahagian North Stand ditutup.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, badan disiplin liga berkata, sorakan yang dilakukan penyokong itu ada unsur perkauman terhadap Koulibaly, dan turut menghina peminat Napoli berikutan lirik lagu yang mengandungi penghinaan membabitkan wilayah.
Bek tengah Senegal, Koulibaly digantung dua perlawanan kerana dibuang padang selepas dilayangkan kad kuning kedua ekoran tindakannya yang bersikap sarkastik terhadap pengadil perlawanan.
Koulibaly, kemudiannya membuat permohonan maaf menerusi laman sosial Twitter berikutan kekalahan pasukannya dan dibuang padang, tetapi berkata: “Saya bangga dengan warna kulit saya. Saya juga bangga menjadi rakyat Perancis, Senegal, serta orang Neapolitan.”– AFP










