Reds mampu cipta sejarah - Utusan Malaysia

Reds mampu cipta sejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 28 Dis. – Pengurus Arsenal, Unai Emery percaya Liverpool mampu menyamai pencapaian Arsene Wenger ‘tidak pernah dikalahkan’ dalam saingan berbaki Liga Perdana Inggeris selepas ini.

Gunners bertandang ke laman pendahulu, Liverpool Sabtu ini (Ahad pukul 1.30 pagi waktu Malaysia) dengan skuad bimbingan, Jurgen Klopp berkelebihan enam mata di kedudukan teratas setelah melakar 16 kemenangan daripada 19 perlawanan liga setakat ini, selain tiga kali seri.

Skuad kendalian Wenger pernah memenangi Liga Perdana dengan rekod tanpa kalah pada musim 2003/04, namun, Emery percaya Liverpool yang memenangi lapan perlawanan terakhir mampu mengikut jejak langkah bekas pengurus Arsenal itu.

“Buat masa ini Liverpool sedang melakukan dan mampu untuk berbuat demikian kerana mereka sedang bekerja keras sekarang.

“Saya pernah berpengalaman menentang Liverpool tiga tahun lalu ketika bersama Sevilla pada perlawanan akhir Liga Europa dan saya dapat lihat perkembangan pasukan itu dan ia adalah contoh terbaik,” kata Emery ketika ditanya adakah Liverpool mampu menamatkan saingan liga tanpa kalah.

Emery, yang berjaya mengambil alih tempat Wenger selepas tamat musim lalu berkata, dia dapat melihat dengan jelas perkembangan Liverpool.

“Tiga tahun lalu mereka tidak layak untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara, selain kecundang pada Liga Europa selepas tewas kepada kami (Sevilla).

“Kemajuan yang mereka pamerkan itu menjadi satu contoh kepada kami pada masa sekarang dan juga seterusnya. Apapun kami perlu bekerja keras dengan perlu berhati-hati dalam setiap langkah. Kami juga memerlukan masa dan ada kalanya kesabaran sangat penting,” ujarnya.

Sementara itu, Klopp mahu para pemainnya memberikan fokus untuk memenangi semua perlawanan yang masih berbaki.

“Apa yang kami mahu katakan ialah kami ingin mencipta sejarah tersendiri. Ketika ini kami adalah pasukan pertama dalam saingan Liga Perdana Inggeris yang belum ditewaskan sepanjang 19 perlawanan dan ia satu sejarah buat Liverpool,” kata Klopp. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×