KUALA LUMPUR 28 Dis. – Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan mempersoalkan tindakan Menteri Dalam Negeri yang campur tangan dalam urusan siasatan polis dan pendakwaan Peguam Negara terhadap status kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim yang terbunuh dalam rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, USJ25 Subang Jaya dekat sini.
Katanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dianggap mendahului Peguam Negara dengan memberi kenyataan akhbar mengenai arahan inkues kematian Muhammad Adib.
“Saya terpanggil untuk bertanya kenapa Menteri Dalam Negeri yang memberi pernyataan akhbar tersebut dan bukan Peguam Negara sendiri?
“Ini memberi persepsi kepada rakyat Malaysia bahawa Menteri Dalam Negeri campur tangan terhadap urusan siasatan polis dan pendakwaan Peguam Negara,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.
Mohamad turut mempersoalkan mengenai Peguam Negara yang didakwa mengarahkan satu inkues Kematian dibuat sedangkan polis masih menyiasat kes kematian Adib sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun keseksaan.
“Adakah Peguam Negara sudah tidak percaya dengan kredibiliti dan kecekapan pihak polis melakukan tugas siasatan kes bunuh ini?
“Sudah tentu satu tindakan menyiasat punca kematian dan menyiasat siapa yang menyebabkan kematian” Allahyarham Adib merupakan objektif yang berlainan? Kenapa pihak kerajaan menerusi Peguam Negara cuba memesongkan pandangan rakyat yang menunjukkan seakan-akan kematian Adib terbela walhal pembunuh Adib masih bebas?” katanya.
Tambah Mohamad, beliau meminta pihak polis menyelesaikan siasatan kes ini dengan segera dan pihak Peguam Negara sebagai pendakwa raya perlu tegas menerusi siasatan pegawai penyiasat polisnya bagi menentukan status kematian Adib sama ada dibunuh atau sebaliknya.
Katanya, beliau juga meminta supaya siasatan kes ini tidak menggunakan prosiding inkues kematian oleh sebuah Mahkamah Koroner bagi tujuan mengenal pasti punca kematian Adib.
“Rakyat sekarang melihat sama ada Kerajaan ini mematuhi Rules of Law atau hanya menggunakan prosedur undang-undang bagi melengah-lengahkan keadilan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










