KUALA LUMPUR 28 Dis. – Tindakan pantas dua anggota kereta peronda (MPV) dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya yang bertindak atas maklumat awam berjaya menyelamatkan seorang wanita daripada dirogol kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 8.40 malam hari ini, mangsa seorang wanita tempatan terselamat dari dirogol seorang lelaki selepas pihak polis tiba di terowong USJ 21, Subang Jaya dengan pantas sebelum memberkas suspek yang cuba melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang berjalan kaki untuk pulang ke rumah selepas bekerja.
“Semasa kejadian anggota MPV itu sedang membuat rondaan di kawasan berdekatan sebelum menerima maklumat mengenai kejadian yang berlaku lalu bergegas ke tempat kejadian dengan segera.
“Anggota peronda terbabit berjaya menangani kejadian jenayah tersebut dari berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohammad Azlin memberitahu, kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.
“Insiden tersebut juga berjaya dirakamkan peralatan kamera khas MPV yang dipasang bagi membantu siasatan.
“Kelengkapan peralatan kamera (In-Car Video) itu dipasang pada setiap MPV ,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










