PG Mall dekatkan pasaran dengan SECA - Utusan Malaysia

PG Mall dekatkan pasaran dengan SECA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 28 Dis. – Platform beli-belah dalam talian tempatan, PG Mall mengambil inisiatif mendekatkan pasaran antara Semenanjung dengan Sarawak menerusi kerjasama Persatuan E-Dagang Sarawak (SECA).

Menerusi kerjasama itu, PG Mall akan memasarkan produk-produk hasil keluaran pengusaha tempatan Sarawak secara dalam talian sekali gus memudahkan pembelian produk ne­geri itu dengan produk Semenanjung.

Menurut Pengarah Urusan PG Mall, Datuk Louis Ng, pihaknya menyasarkan menambah 5,000 produk pelbagai jenis hasil keluaran pengusaha tempatan Sarawak menerusi kerjasama dengan SECA.

Tambahnya, penambahan produk khusus dari Sarawak itu memberi pilihan lebih luas kepada 250,000 pelanggan PG Mall ketika ini untuk mendapatkan produk dari negeri Bumi Kenyalang dengan lebih mudah dan pada harga kompetitif.

“Dalam jangka masa panjang pula, kerjasama dengan SECA membolehkan kedua-dua pihak mengembangkan lagi cabang perniagaan dalam talian sete­rusnya membuka pasaran lebih luas kepada produk tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis menandatangani perjanjian kerjasama dengan SECA yang diwakili Pengerusi­nya, Chew Heo Lee di ibu pejabat Public Gold di Bayan Lepas hari ini.

Menerusi kerjasama itu juga, semua ahli SECA akan didaftarkan sebagai pengedar PG Mall dan berpeluang menyertai bengkel tentang perniagaan e-dagang kendalian PG Mall.

Sementara itu, Heo Lee berkata, kerjasama dengan PG Mall adalah selari dengan matlamat SECA untuk menggalakkan ahli-ahlinya mengembangkan perniagaan rentas sempadan menerusi platform dalam talian.

Katanya, ketika ini ahli SECA menawarkan pelbagai jenis produk seperti makanan, cenderahati dan produk asli.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×