Batu berombak Bukit Baginda - Utusan Malaysia

Batu berombak Bukit Baginda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH 28 Dis. – Negeri Sembilan mempunyai banyak lokasi menarik dan mencabar bagi yang gemarkan aktiviti mendaki antaranya Gunung Datuk di Rembau; Bukit Batu Putih (Port Dickson) dan Gunung Angsi dekat sini.

Peminat aktiviti lasak kini mempunyai satu lagi pilihan iaitu Bukit Baginda di Kampung Majau di sini yang semakin popular terutama dalam kalangan penggiat aktiviti lasak.

Sejak laluan ke bukit itu dibuka kira-kira dua bulan lalu, lokasi tersebut dikunjungi bukan saja rakyat negara ini tetapi pelancong dari Perancis, Jepun, Vietnam dan Filipina.

Tarikan utama pastinya keunikan batu berombak atau wave rock bersaiz gergasi terletak di puncak Bukit Baginda yang memiliki ketinggian 450 meter.

Batu yang memiliki permukaan beralun itu menjadi lokasi terbaharu dalam kalangan pendaki untuk menambah senarai tempat menarik yang dikunjungi.

Menurut pendu­duk, Ramlan Ruspan, 52, keistimewaan batu setinggi 20 meter tersebut terletak pada jalur-jalur permukaan batu yang senget tetapi dalam keadaan seragam.

“Setahu saya batu seumpama ini tidak pernah ditemukan di mana-mana lagi lokasi di negeri ini. Ia memang nampak luar biasa apatah lagi dengan saiznya yang besar.

“Batu ini sudah lama dijumpai tetapi hanya popular selepas ditularkan oleh seorang rakan, Abdul Razak Hashim, 45, melalui media sosial sehingga kawasan ini mula menjadi tumpuan,” katanya di sini baru-baru ini.

Ramlan yang juga seorang guru memberitahu, terdapat empat buah gua di Bukit Baginda yang masih belum dite­rokai sehingga hari ini.

Bagaimanapun ujarnya, baru-baru ini ada sekumpulan pengkaji dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang meninjau kea­daan gua berkenaan.

Beliau juga meminta kerajaan negeri mewartakan kawasan yang belum diterokai itu sebagai kawasan pelancongan dan penyelidikan bagi memelihara keaslian dan mengelak kemusnahan.

Sementara itu, penggemar aktiviti lasak, Muhamad Asroy Mohd. Yazid, 30, berkata, dia telah mendaki Bukit Baginda baru-baru ini dan mengakui keistimewaannya serta yakin ia akan menjadi tumpuan dalam masa terdekat.

“Ia lokasi yang unik ditambah dengan lima check point yang terdapat batu-batu besar dan menakjubkan. Ia sesuai dijadikan lokasi untuk aktiviti riadah bersama rakan dan keluarga,” katanya.

Bagi Abdul Razif Sulaiman, 30, pihak yang bertanggungjawab perlu mempromosi Bukit Baginda secara meluas supaya lebih dikenali sebagai destinasi pelancongan dan rekreasi.

“Bukit ini mempunyai trek yang mencabar dan seronok untuk didaki,” katanya yang aktif dalam aktiviti mendaki.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×