Bersatu jadi medan perkukuh parti, negara - Utusan Malaysia

Bersatu jadi medan perkukuh parti, negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Kali Ke-2 Parti Pribumi Bersatu Malaysia Malaysia (Bersatu) yang bermula semalam akan memberi tumpuan kepada agenda membangunkan negara dan membentuk masa depan Malaysia baharu.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perhimpunan itu juga akan turut memfokuskan usaha memperkukuh dan memperkasakan parti itu sebagai salah satu parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH). 

Menurutnya, tumpuan akan diberikan kepada peranan yang dimainkan oleh Bersatu dalam PH ke arah membangunkan agenda ekonomi, pendidikan, isu kepentingan rakyat dan hubungan harmoni antara masyarakat di negara ini. 

“Perhimpunan kali ini akan menjadi medan untuk melihat apakah peranan yang boleh dimainkan Bersatu untuk bergerak ke depan dalam agenda pembangunan negara.

“Kita juga akan membincangkan isu kaum dan agama dalam usaha mewujudkan negara yang bersatu padu. Ini antara perkara-perkara penting yang akan didebatkan dalam perhimpunan kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Kali Ke-2 di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, semua perwakilan Bersatu bebas untuk menyuarakan pandangan masing-masing sama ada berkaitan parti atau negara dalam sesi perbahasan yang bermula hari ini.

“Kami memberikan kebebasan untuk mereka bercakap. Saya berharap PAT kali ini akan berjalan lancar,” katanya.

Seramai 1,359 perwakilan daripada 135 bahagian di seluruh negara termasuk wakil daripada 98 sayap Srikandi dan 115 Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) menghadiri perhimpunan tersebut.

Perhimpunan terbesar Bersatu itu juga turut menyaksikan pembabitan pemimpin tertinggi daripada parti komponen PH lain iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan wakil 
Parti Amanah Negara. 

Ia juga membabitkan penyertaan wakil pelajar dan Kelab Bunga Raya dari luar negara. 

Perhimpunan Agung Tahunan Kali Ke-2 Bersatu mencatat sejarah tersendiri kerana menjadi persidangan pertama parti itu selepas membentuk kerajaan apabila memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×