KLANG – Taktik licik penyeludup cuba membawa masuk pelbagai jenis rokok kretek ke negara ini berjaya dipatahkan Maritim Malaysia (APMM) dalam satu serbuan pada jarak 0.1 batu nautika dari pesisiran pantai Tanjung Sepat dekat sini petang semalam.
Serbuan pukul 7.30 petang itu berjaya merampas 660 kartun rokok yang bernilai RM52,800 termasuk cukai.
Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, pihaknya terlebih dahulu berjaya mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan dengan tidak memasang sebarang lampu menuju berhampiran pesisiran pantai Tanjung Sepat.
“Bot berkenaan kemudiannya melarikan diri sebaik menyedari kehadiran bot ronda APMM.
“Hasil pemeriksaan lanjut di kawasan tersebut kemudiannya membawa kepada penemuan beberapa bungkusan rokok pelbagai jenama di dalam dua buah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima dan Alparhd,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohammad Rosli, jumlah keseluruhan rampas termasuk dua buah kenderaan itu dianggarkan bernilai RM372,800.
“Kesemua barang yang dirampas dan disita telah dibawa ke Unit Siasatan Maritim Selangor untuk tindakan lanjut dengan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya. – K! ONLINE










